|
Merbok
merupakan sejenis burung yang kini menjadi unggas peliharaan yang digemari ramai.
Disamping itu, burung-burung ini sering dipertandingkan bagi menikmati kemerduan
suaranya. Ini berdasarkan cerita dari generasi terdahulu, nama unggas inilah
lahirnya nama Merbok, Merbok merupakan satu-satunya kawasan dalam Daerah Kuala
Muda yang kaya dengan peninggalan sejarah silam.
Suatu
masa dahulu, Gunung Jerai merupakan mercutanda kepada para pedagang dan pelayar
antara China, India dan Timur Tengah. Ini menyebabkan ramai pedagang yang
singgah untuk menjalankan perniagaan di kawasan yang dikenali sebagai Lembah
Bujang terletak di utara Sungai Merbok dan sekitarnya sejak kurun keempat masihi
lagi. Ramai pakar Arkeologi yang telah melakukan penyelidikan dan carigali
dikawasan ini sejak sebelum Perang Dunia Kedua sehingga kini. Antaranya ialah
K.G Tregonning, M. Sullivan, James Low, Evans, H.G. Quaritch Wales, Alister
Lamb, Dato' Nik Hasan Suhaimi, Dato' Dr. Adi Taha, Leong Sau Heng dan Kamaruddin
Zakaria.Pelbagai penemuan telah ditemui oelh penyelidik-penyelidik ini
seperti candi, cepubatu, inskripsi, seramik, tembikar dan pelbagai jenis artifak.
Melalui penemuan ini, ia dapat menggambarkan perkembangan masyarakat Melayu di
zaman dahulu yang dipengaruhi oleh kebudayaan Hindu. Di Lembah Bujang ini
sudah memiliki kepakaran dalam ilmu seni bina, seni ukir, seni pahat, seni tulis
di samping mahir dalam bidang perdagangan. Penemuan-penemuan di Pengkalan Bujang
juga telah membuktikan bahawa Kedah sudah lama terlibat dalam perdagangan
antarabangsa, iaitu sejak beribu tahun sebelum wujudnya Kesultanan Melaka (Leong Sau Heng, "Lembah
Bujang", Penerbitan Khas Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah,
Januari 1980, Hal. 11).
Di
samping pengaruh kebudayaan Hindu, beberapa nama tempat di sekitar kawasan
Merbok dikatakan berasal dari Bahasa Siam. Misalnya nama Kampung "Bujang"
dalam Bahasa Siam bermaksud "Telaga Getah". Berdasarkan penyelidikan
lain pula, ianya dikatakan berasal dari kata "Bhujangga" dalam Bahasa
Sanskrit yang bermakna "Ular" (Roland Braddel: "Most Ancient Kedah", Malaya in History, Vol. 4,
Julai 1958, hal. 18). Sementara itu "Semeling" pula berasal
dari kata "Semangling" dalam Bahasa Siam bermaksud "Tiga Ekor
Kera" (Ismail Restu, "Asal-Usul Kampung Bujang & Semeling",
Buletin Lindungan Bulan, Terbitan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Bil,
12 & 13, 200 & 2001, Hal. 4).
Di Bukit Tupah dalam kawasan merbok juga pernah
ditemui sebuah artifak berbentuk sekeping batu yang terukir nama "Ibni
Sirdhan" dan tahun "241 Hijrah" (828-829 Masihi). Penyelidikan yang
dilakukan setakat ini menunjukkan dakwah Islam sudah bermula di Kedah
sekitar tahun tersebut dibawa oleh tokoh dari Timur Tengah. Selanjutnya
pada 531 Hijrah bersamaan 1136 Masihi, agama Islam mula bertapak dan
berkembang di negeri ini bermula dengan pemelukan Islam oleh Maharaja
Derbar II. Baginda diislamkan oleh Sheikh Abdullah Yamani (Arab Selatan)
dan memakai gelaran "Sultan Mudzaffar Shah" (1136-1179) di istana Kota
Bukit Meriam (Muhammad Hasan Dato' Kerani Muhammad Arshad,"Al-Tarikh
Salasilah Negeri Kedah",Percetakan Jelutong, Pulau Pinang,1928, Hal.
29-30). Makam baginda terdapat di Kampung Bujang. Dari Kota Bukit
Meriam, pusat pentadbiran Kerajaan Kedah berpindah ke Kota Sungai Emas,
kemudian Kota Siputih, Kota Naga, Kota Sena, Kota Indera Kayangan dan Kota
Bukit Pinang sebelum Kota Setar berperanan sebagai ibu Negeri Kedah
terakhir yang diasaskan pada tahun 1735.
Ketika
Kedah sering diancam oleh Siam, Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah
II, SUltan Kedah ke-2 (1804-1845) terpaksa memindahkan tempat semanyamnya
dari istana di Kota Kuala Kedah ke istana yang baru dibina terletak di
Pulau Tiga, di pinggir Sungai Merbok (1820). Di sini, baginda pernah
dikunjungi mengadap oleh mubaligh Kristian, Thomas Beighton dari Pulau
Pinang yang seterusnya menjadi sahabat baik baginda sehinggalah Kedah
jatuh ke tangan Siam (1821) dan baginda terpaksa mendapat suaka politik
dari Inggeris di Pulau Pinang. Sepucuk warkah Beighton kepada baginda
bertarikh Arba'a, 3 Mei 1837 yang membahasakan dirinya "beta"
memperlihatkan betapa simpati beliau kepada baginda, antara lain Beighton
mencatatkan: "....Akan beta ini siang dan malam minta doa kepada
Allah s.w.t dan kepada Tuan Isa Al-Masih akan sahabat beta beroleh balik
takhta kerajaan yang sempurna." (Koleksi Peribadi, berdasarkan
manuskrip SOAS London).
Di
awal era pemerintahan Almarhum Sulan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan
Kedah ke-26 (1882 - 1943), baginda yang gemar berburu sering berangkat ke
Lubuk Pusing, di pinggir Sungai Merbok. Setiap kali berangkat dengan gajah
dari Alor Setar, baginda singgah menunaikan solat di Masjid Pengkalan
Kakap (Batu Hampar). Masjid itu kini telah dibaikpulih oleh Muzium Negara.
Lubuk Pusing pernah muncul sebagai sebuah bandar yang wujud seketika dalam
tahun 1892, kerana menyambut pesta perkahwinan baginda dengan Syarifah
Seha binti Syed Husain (Wan Shamsudin Mohd Yusof, Wata
Darul Aman, Mac 1991). Di zaman baginda juga institusi persekolahan
pondok berkembang subur di negeri Kedah dalam menyibarkan pelajaran agama
Islam. Di kawasan Merbok juga muncul beberapa perkampungan pondok dan
tokoh ulama terkenal. Antaranya Madrasah Al-Rahmaniah di Kampung Bujang,
diasaskan oleh ulama Haji Ismail Che Abu (1900-1946). Sebuah lagi Madrasah
Sa'adatul Darian diasaskan oleh ulama Haji Othman atau Haji Ahmad Tampung
(1893-1943) yang kemudiannya dilanjutkan oleh ulama Haji Abdul Rahman Haji
Abdullah (Haji Abdul Rahman Merbok) yang juga terkenal sebagai
pennetang gagasan Malayan Union (1945-1948) dan pernah dilantik sebagai
Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Kedah oleh Almarhum SUltan Badlishah("Ulama Kedah Darul Aman", Terbitan Muzium Negeri Kedah,
1996, Hal 75-76 dan 146-148).
Sewaktu
Kedah masih di bawah naungan Siam, Perkhidmatan Pos telah bermula dengan
pembinaan sebuah Pejabat Pos Besar di Alor Setar (1899) yang kemudiannya
Pejabat Pos Kecil dibina di Daerah Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.
Surat-surat ke beberapa kawasan di Kedah dibawa secara
bergilir-gilir oleh posmen dengan bot, berjalan kaki atau menuggang
basikal. Terdapat kisah bagaimana seorang posmen mengalami satu pengalaman
yang menggerunkan. Tatkala dia tiba di Bukit Air Nasi dalam perjalanan ke
Semeling dan seterusnya ke Permatang Bendahari, dia ternampak seekor
harimau meluru ke arahnya yang sedang berehat di situ. Tetapi harimau yang
terkejut itu melompat lari masuk ke dalam hutan (Dato' James F.
Augustine, "bygone Kedah", Terbitan Muzium Negeri Kedah, 1992, Hal.
63).
|
|
Daerah Kecil Merbok terdiri daripada 4 mukim iaitu Mukim Merbok, Mukim Semeling,
Mukim Bujang dan Mukim Gurun. Keluasan keseluruhan kawasan adalah sebanyak 363.8
km/p iaitu 39.5% daripada keluasan Daerah Kuala Muda. Jumlah penduduk
mengikut bancian pada tahun 2000 adalah seramai 70,744 dengan kepadatan penduduk
1.94 orang sehektar. Daerah Kecil Merbok mempunyai sebanyak 100 buah kampung
dengan bilangan JKKK ialah 69 institusi dan keahlian sebanyak 1087 orang. Iaitu
48% daripada keseluruhan JKKK Daerah Kuala Muda. Bilangan hakmilik bagi berakhir
tahun 2003 adalah sebanyak 22,469 keping. Bilangan pengguna bekalan air adalah
sebanyak 16,000 bil.
Kemudahan asas bagi Daerah Kecil Merbok adalah ditahap sederhana tetapi sedang
dibaiki dari masa ke semasa. Daerah ini mempunyai pelbagai kemudahan seperti
klinik, pejabat pos, bank, balai polis, masjid dan lain-lain. Terdapat juga
pusat pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Mara ( UiTm ) dan
Universiti Perubatan Dan Teknologi Asia ( AIMST ) yang mampu menampung pelajar
samada dari dalam atau luar negeri. Disini juga akan dibina sebuah Maktab Rendah
Sains Mara. Jaringan jalanraya yang baik dapat menyokong
perkembangan ekonomi daerah ini.
Daerah Kecil Merbok boleh dijadikan sebagai kawasan pelancongan, perindustrian,
perikanan dan pertanian. Kawasan pelancongan yang boleh menjadi tarikan kepada
pelancong adalah seperti kawasan kaki Gunung Jerai, Pusat Perkelahan Tupah,
Sungai Merbok, Tanjung Dawai, Jeti Semeling, Muzium Arkeologi Lembah Bujang,
Makam Sultan Muzaffar Shah, Damai Park Resort dan Harvard Suasana Hotel Golf
& Country Club. Kawasan Gurun mampu membangun sebagai pusat industri berat
yang menjana banyak peluang pekerjaan bagi penduduk setempat. Tanjung Dawai
berpotensi menjadi sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian/laut dan pusat
kajian dan penyelidikan maritim.Daerah Kecil Merbok juga berpotensi menjadi
pengeluar hasil makanan.
|