KEDAH AEROTROPOLIS : LIMA PELABUR UTAMA PERINGKAT PENILAIAN AKHIR

Muhammad Sanusi (tengah) bersama sebahagian pemain industri pada majlis memeterai MoU Kedah Aerotropolis di Wisma Darul Aman.

ALOR SETAR (20 OKTOBER 2022) : KERAJAAN negeri melalui KXP AirportCity Holdings sedang memuktamadkan senarai pelabur utama bagi membangunkan projek Kedah Aerotropolis yang tertangguh selepas pelabur utamanya, Syarikat ECK Group (ECK) ditamatkan penglibatannya pada Mei lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, terdapat lebih 20 buah syarikat berminat menjalin kerjasama membangunkan projek mega ini dan lima syarikat disenarai pendek untuk penilaian akhir.

Menurutnya, hanya sebuah syarikat yang diyakini mampu merealisasikan pembangunan ini akan dipilih dalam masa terdekat.

“Syarikat tempatan ini akan gantikan ECK yang dilantik sebelum ini, namun pengambilan tanah belum berlaku ketika itu disebabkan mereka tidak mematuhi syarat perjanjian.

“Tanah sudah sedia untuk pengambilan, kita hanya perlu tunggu kehadiran pelabur utama ini sebelum teruskan semula perancangan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kedah Aerotropolis di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, pembangunan secara fizikal belum bermula dan kini dalam proses melengkapkan dokumen berkaitan yang dijangka selesai dalam sedikit masa lagi.

“Selepas dokumentasi berkenaan selesai, fasa berikutnya ialah kerja-kerja di tapak. Secara keseluruhannya, kemajuan projek ini sudah capai 20 peratus dan ia melalui proses yang agak rumit berikutan belum ada lagi projek Aerotropolis dalam negara, kita adalah perintis,” katanya.

Menurutnya lagi, sebahagian daripada dokumentasi yang sedang dilaksanakan adalah berdasarkan kepada lapan nasihat yang dikemukakan oleh Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) bagi membolehkan Kedah Aerotropolis mendapat kelulusan untuk dilaksanakan.

“Kelulusan ini merupakan nasihat yang perlu dipatuhi dalam pembentangan kedua kepada MPFN. Lapan nasihat itu kebanyakannya berkaitan isu teknikal seperti penilaian impak alam sekitar (EIA), perundangan dan prosedur,” katanya.

Muhammad Sanusi memaklumkan, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan dirujuk selepas industri dalam komponen Kedah Aerotropolis dibangunkan memandangkan pengangkutan udara kini menjadi sekunder dalam projek berkenaan.

“Pengangkutan bukanlah perkara utama dalam Kedah Aerotropolis. Perkara utama kita ialah industri. Selepas kita selesaikan sektor-sektor industri yang penting, seterusnya tumpu pada sektor yang perlukan kepada kelulusan MOT pula untuk fasa seterusnya,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya projek Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing (SLAM) bawah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang telah diluluskan pembangunannya, Kedah Aerotropolis akan berkembang dengan sendirinya mengikut keperluan industri yang berada di sekitarnya.

“Saya harap 2026 bukanlah tahun sasaran yang mustahil dicapai. Walaupun kita ada kekangan, namun sebahagiannya sudah dapat diatasi.

“Saya berharap Kedah menjadi teraju utama dan contoh pembangunan Aerotropolis bukan saja di Malaysia tetapi rantau ini. Ia akan menjadi hab pengumpulan dan agihan kargo pelbagai produk untuk ASEAN,” ujarnya lagi.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi merangkap Pengerusi KXP AirportCity Holdings menyaksikan majlis memeterai MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif KXP AirportCity Holdings, Nur Salman Saad @ Bidin dengan pemain-pemain industri bagi pembangunan Kedah Aerotropolis.

Antaranya, St Engineering yang beroperasi di Singapura dan Eropah merupakan salah sebuah syarikat pembaikan, operasi dan penyelenggaraan (MRO) terbesar di dunia.

Syarikat lain termasuk, Aviation Industry Corporation Of China (AVIC) sebuah syarikat konglomerat aeroangkasa dan pertahanan berpangkalan di Beijing.

Selain daripada syarikat luar negara, majlis tersebut melibatkan beberapa syarikat tempatan dalam bidang pengangkutan/kargo, iaitu MAZ Gerbang, Wau Avieco dan My Handler, manakala ZRST Training dan GIAAN Flying Academy (GFA) dalam bidang latihan penyelenggaraan dan baik pulih kapal terbang, kargo dan bidang pengendalian pengangkutan dan kargo.

Turut menandatangani MoU adalah Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), yang akan terlibat dalam bidang pengajian atau kursus teknikal berkaitan aeroangkasa, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat bagi penyediaan tenaga mahir.

Sumber : Sinar Harian