Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
GUNONG – Mangsa kebakaran di Kampung Alor Gonchar, di sini, Puan Harisun Che Kassim, 52, seorang ibu tunggal berasa bersyukur dan kini boleh tersenyum gembira setelah penantian untuk mendiami rumah sendiri tercapai apabila menerima kunci daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, YB. Dato’ Ir Haji Amiruddin Hamzah.
Harisun serta tiga anaknya berumur 9 tahun hingga 20 tahun tinggal sehelai sepinggang setelah rumah yang mereka hangus terbakar sehari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha, iaitu pada 26 November 2009.
Ketika hari kejadian yang berlaku jam 10.30 pagi, Harisun bersama anak bongsunya, Mohd Amirul Hakim Din, 9, keluar ke pekan sehari di Gunung Keriang kira-kira 4 km dari rumahnya untuk membeli barang keperluan menyambut hari raya.
Manakala dua lagi anaknya, Hafizudin Husin, 20, dan Hazwani Husin, 19, tiada di rumah kerana keluar bekerja.
Selepas kejadian tersebut, beliau bersama tiga anaknya menumpang sementara di rumah kakaknya, Azizah Che Kassim yang tinggal berhampiran.
Menurut Harisun, beliau bersyukur setelah dua bulan menumpang di rumah kakaknya, kini bersama tiga anaknya, mereka telah memiliki rumah sendiri hasil sumbangan kerajaan negeri.
“Saya bersyukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana telah beri rumah baru ini kepada saya, jadi kami sekeluarga dapat meneruskan kehidupan ini dengan baik.
“Terima kasih juga kepada penduduk kampung yang banyak membantu kami sekeluarga, yang mana sedikit sebanyak dapat meringankan beban, mereka tak putus-putus hulur bantuan,” ujar beliau.
Tambah beliau, rumah baru ini lebih selesa dan sempurna kerana ianya lebih besar berbanding rumah terdahulu.
“Rumah dulu ada satu bilik saja, yang baru ini ada dua bilik dan lebih luas memandangkan kami pun hanya tinggal empat beranak sahaja. Setelah buat kenduri kesyukuran, kami akan terus pindah tinggal di sini,” ujar beliau.