Ditulis oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
ALOR SETAR – Biasanya semakin pesat pembangunan dan perkembangan sesebuah negara, semakin meluas keruntuhan akhlak.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, YB Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, negara yang membangun dengan pelbagai ciptaan sains dan teknologi telah menyebabkan berleluasa gejala sosial seperti seks bebas, lari rumah, penagihan dadah, pembuangan bayi dan jenayah.
Hakikatnya remaja masa kini sedang lalui kemelut sosial dan kekeliruan hidup yang dahsyat.
“Perkembangan teknologi maklumat dan ICT yang pesat telah menjadikan dunia ini tanpa sempadan. Setiap maklumat dapat diperolehi dengan cepat dan pantas tanpa halangan dan sekatan.
“Namun perkembangan ini sering disalahguna oleh masyarakat terutama remaja yang masih mentah dengan kehidupan dunia yang penuh pancaroba.
“Akibatnya mereka mudah terpengaruh dengan pelakuan yang tidak seiring dengan budaya masyarakat Islam,” ujar beliau pada majlis Idul Ilmi 2010 Maktab Mahmud Alor Setar, di sini.
Bagi menangani kemelut ini, disiplin penggunaan teknologi perlu dipupuk kepada pelajar agar sentiasa dimanfaatkan untuk kebaikan pendidikan sahaja.
Justeru, ibu bapa dan guru perlu bersedia untuk hadapi masalah serta bijak bertindak secara proaktif dalam mengawal tingkah laku dan pencapaian internet di kalangan remaja agar mereka sentiasa berada dalam bimbingan dan peringatan dari semasa ke semasa.
“Pendidikan akhlak perlu diterap dalam pembentukan asas perkembangan pelajar. Rangkaian antara iman, ilmu, akhlak dan amal mestilah ada pada pelajar kerana ianya saling berkaitan antara satu sama lain.
“Jadi dengan wujudnya institusi agama seperti Maktab Mahmud ini, diharapkan keempat-empat unsur tersebut diseimbangkan untuk menjamin kualiti pelajar hari ini,” jelas beliau.