TIGA PPS DIBUKA DI KEDAH

PPS di Masjid Al Ihsan Kampung Changkat Setoi yang dibuka di Kubang Pasu malam tadi menempatkan yang mangsa banjir. FOTO Ihsan APM

ALOR SETAR (15 NOVEMBER 2022) : Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah di negeri ini yang menempatkan 65 mangsa daripada 17 keluarga berikutan banjir kilat, semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, tiga daerah terbabit adalah Kubang Pasu, Baling dan Kulim.

Beliau berkata, PPS di daerah Kubang Pasu dibuka di Masjid Al Ihsan Kampung Changkat Setoi, Changlun pada 11 malam tadi dengan menempatkan 10 mangsa daripada dua keluarga.

Katanya, PPS Masjid Sungai Seluang di Kulim yang dibuka 9 malam tadi menempatkan seramai 36 mangsa daripada lapan keluarga.

“PPS Surau Ittifaqiah di daerah Baling pula menempatkan 19 mangsa daripada 7 keluarga sejak dibuka 7.30 malam tadi.

“Ketiga-tiga daerah itu dilanda banjir kilat susulan hujan lebat melebihi dua jam sejak petang semalam menyebabkan air sungai melimpah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, tiga sungai di negeri menunjukkan paras air sudah melebihi paras amaran pada 6.30 pagi hari ini.

Dua sungai di daerah Baling iaitu Sungai Ketil di Kuala Pegang dan Sungai Ketil di Kampung Padang Pulai, manakala Sungai Kerian di Rumah Pam di daerah Bandar Baharu.

Sumber : Harian Metro