LZNK SUDAH BANTU ROLIZA

Syeikh Zakaria Othman (kiri) ketika menziarahi pesakit kanser payu dara tahap empat, Roliza Md Zain di rumah kakaknya di Kampung Charuk Purun, Tawar, Kuala Ketil. FOTO FB LZNK

BALING (1 DISEMBER 2022) : Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengesahkan pesakit kanser payu dara tahap empat, Roliza Md Zain, 31, sudah pun menerima bantuan bulanan sebanyak RM1,000 sejak Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, Roliza menerima agihan kewangan tunai sebanyak RM500 sebulan bermula Januari lalu demi meringankan bebannya menjaga empat orang anak.

Beliau berkata, dua anaknya yang masih bersekolah juga turut menerima agihan pakaian seragam sekolah serta beg sekolah dari LZNK sejak tahun lalu.

“Kisah wanita yang menghidap kanser payu dara itu bermula sejak Ogos tahun lalu turut mendapat perhatian pihak LZNK dan Penolong Amil Kariah.

“Kehidupannya semakin diuji apabila suaminya pula meninggal dunia pada bulan Oktober tahun yang sama,” katanya melalui kenyataan di laman sosial Facebook (FB) miliknya, hari ini.

Zakaria berkata, sejak itu, Roliza kini tinggal bersama kakak kandungnya, Rohani, 45, di Kampung Charuk Purun, Tawar, di sini.

Beliau berkata, Rohani serta suaminya membantu menjaga Roliza serta empat anaknya sejak setahun yang lalu sehingga ke hari ini.

“Suami Rohani hanya bekerja sebagai pemandu lori manakala Rohani pula mengambil upah mengasuh.

“Dengan keadaan kesihatan Roliza yang memerlukan rawatan berkala menyebabkan kos perbelanjaan mereka meningkat dan bermula Ogos lalu, LZNK menaikkan lagi kadar agihan zakat sebanyak RM1,000 setiap bulan kepada Roliza sekeluarga,” katanya.

Zakaria berkata, Roliza tinggal di luar rumah pada waktu siang disebabkan bahagian dalam rumah kakaknya panas akibat keseluruhan bumbung rumah itu hanya diperbuat daripada zink dan tiada siling.

Katanya, beliau dimaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan mempertimbangkan bantuan berjumlah RM1,200 sebulan bermula Januari tahun depan kepada Rohani yang menjaga Roliza dan anak-anaknya.

Zakaria turut menziarahi pesakit kanser itu semalam untuk melihat keadaannya dan turut menghulurkan sumbangan dana zakat untuk Roliza.

Kisah Roliza mendapat perhatian orang ramai selepas disiarkan melalui akhbar Harian Metro, kelmarin apabila anak perempuan sulungnya yang berusia 10 tahun sanggup menjaganya menukar lampin pakai buang, memberi makan serta memandikannya sebelum ke sekolah.

Sumber : Harian Metro