KERAJAAN NEGERI KOMITED BANTU GOLONGAN SUSAH MILIKI RUMAH SENDIRI

JITRA (13 JUN 2024) – Memiliki rumah sendiri merupakan impian semua orang terutamanya menjadi tanggungjawab setiap ketua keluarga untuk menyediakan tempat tinggal untuk keluarganya. Namun diakui bahawa rezeki setiap orang tidak sama. Ada yang cepat, ada yang lambat dan semua itu adalah ujian kehidupan bagi kita selaku hamba Allah dan setiap apa yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri tetapi yang penting bagi kita ialah meredai apa jua bentuk takdir untuk diri kita.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata pihak Kerajaan Negeri di bawah dasar “Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua”, memang sedaya upaya mahu setiap keluarga di negeri ini memiliki rumah sendiri.

“Oleh itu, saya sudah mengarahkan kepada pegawai-pegawai daerah untuk kenal pasti tanah milik Kerajaan Negeri untuk kita jadikan plot tapak rumah dengan keluasan sekitar lima ribu kaki persegi bagi setiap lot untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan. Kawasan yang akan dijadikan penempatan ini kita akan sediakan kemudahan yang lengkap dengan kemudahan bekalan air, elektrik, jalan dan sistem perparitan yang tersusun supaya mereka dapat hidup dalam kawasan kejiranan yang sempurna di situ. Sesiapa yang layak boleh memohon dan akan ditapis untuk diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Kepada yang susah, kita harap bantuan dan sokongan yang seperti ini akan mendorong mereka untuk lebih bersemangat dengan bekerja keras mengubah nasib ke arah kehidupan yang lebih baik. Dengan itu, adalah diharap agar anak-anak dapat memberi tumpuan untuk belajar dengan lebih tekun dan cemerlang.

“Justeru itu, saya mengharapkan agar pemilik rumah ini dapat memanfaatkan pemilikan ini dengan sebaik-baiknya untuk membawa keluarga ke arah kehidupan yang lebih baik, memastikan anak-anak dapat belajar dengan tekun, mendapat keputusan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan dan hidup senang pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Serahan Kunci Bagi Program Rumah Sejahtera (Dahulu Dikenali Sebagai Projek My Beautiful New Home), Mukim Binjal Daerah Kubang Pasu di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Prof Dr. Haim Hilman Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air Dan Alam Sekitar Negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Dato’ Wira Isahak Murat dan Timbalan Setiausaha Bahagian Kawalan Kewangan Strategik Dan Korporat Kementerian Kewangan Malaysia, Zainuddin Seleiman.

Dalam perkembangan sama, Sanusi amat berharap supaya pemilik-pemilik Rumah Sejahtera seramai 50 orang yang terpilih sentiasa bersyukur dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada PKNK yang telah menjual rumah dengan harga yang sangat murah iaitu sebanyak RM36 ribu seunit dan juga kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan untuk projek ini manakala PKNK selaku penyelaras Program Rumah Sejahtera Negeri Kedah.

“Dengan rumah jenis Semi-D seluas 750 kaki persegi, saya yakin Rumah Sejahtera ini akan menjadi kediaman yang cukup selesa untuk setiap keluarga. Kos bagi setiap rumah berkembar semi D dibawah program ini adalah bernilai RM114,086. PKNK telah menjalankan tanggungjawab sosial dengan menyumbang tanah milik Perbadanan sendiri seluas 4.67 ekar bagi pembangunan projek ini.

“Tuan-Tuan dan Puan-Puan tidak akan dapat beli rumah yang seperti ini dengan harga RM36 ribu jika bukan disebabkan keprihatinan PKNK. Marilah kita sama-sama ucapkan terima kasih kepada PKNK yang telah menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan prinsip “Kedah Negeri Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Menabur Bakti’.

“Permulaan di sini, anda akan mendapat jiran baru dan suka saya mengingatkan untuk anda hidup dalam keadaan yang baik, saling hormat-menghormati dan tolong-menolong. Segala tanggungjawab dipikul bersama dalam keadaan harmoni dan muhibah,” ujarnya.

Sumber : Warta Kedah