HUBUNGAN KEKELUARGAAN MEMAINKAN PERANAN PENTING MEMBENTUK KEHIDUPAN SEHARIAN – RAJA MUDA KEDAH

ALOR SETAR (30 JUN 2024) – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff mencemar duli hadir ke Balairong Seri, Istana Anak Bukit sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah Serta Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman Ke-82.

Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin berkata hubungan erat dan baik dalam kehidupan bermasyarakat adalah bermula dari institusi kekeluargaan. Hubungan erat antara ibu bapa dengan anak-anak dan sesama saudara mara merupakan asas kehidupan kekeluargaan yang bahagia di mana hubungan ini perlu dibina atas rasa kasih sayang, kepercayaan dan saling hormat-menghormati. Hubungan keluarga juga menawarkan rasa kekitaan, kasih sayang dan penerimaan tanpa syarat.

“Hubungan kekeluargaan memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan kita, di mana ibu bapa memberikan kasih sayang dan sokongan awal untuk membimbing kita. Sebagai guru pertama kita, ibu bapa berperanan membimbing mengenai nilai-nilai yang positif, moral dan kepercayaan yang membentuk asas personaliti diri kita apabila dewasa. Pengaruh mereka sangat mendalam kerana mereka membimbing kita bermula peringkat awal kehidupan dengan meletakkan asas untuk interaksi dan hala tuju masa depan kita. Nilai dan personaliti yang dibentuk ketika dibesarkan mempengaruhi peribadi dan kelakuan anak ketika dewasa.

“Selain ibu bapa, adik-beradik dan saudara mara juga menyumbang kepada pembentukan peribadi yang signifikan kepada diri kita. Sewaktu membesar bersama, kita dapat berkongsi pelbagai kenangan dan pengalaman serta mempelajari kemahiran kehidupan penting seperti berkongsi, berunding dan penyelesaian konflik. Pengalaman yang dilalui ketika menjalani hubungan antara saudara-mara turut menjadi penyokong kepada pemahaman dan cara menyelesaikan masalah semasa menghadapi masa yang sukar. Hubungan erat yang terjalin dalam keluarga ini dapat memberi kita daya ketahanan dan menyemarakkan lagi nilai empati.

“Ahli keluarga yang lain termasuk datuk nenek, bapa saudara, ibu saudara dan sepupu turut memainkan peranan penting dalam dinamik keluarga kita. Mereka memberikan rasa kebersamaan dengan warisan kita bagi mencipta kenangan yang berpanjangan melalui perjumpaan dan tradisi keluarga. Hubungan ini menawarkan pandangan yang lebih luas tentang kehidupan dan panduan yang berharga. Selain itu juga, rakan-rakan terdekat dan rapat yang dianggap seperti keluarga juga boleh memberi impak mendalam dalam hidup kita. Kesimpulannya, dengan memahami dinamik hubungan ini, ikatan keluarga yang kuat, sihat dan bahagia adalah penting.

“Membina hubungan keluarga yang kukuh memerlukan komitmen daripada semua ahli keluarga yang memerlukan pendengaran aktif, komunikasi yang berkesan, kemahuan untuk berunding dan melibatkan penyelesaian konflik secara membina. Melalui pemeliharaan ikatan ini, kita dapat membina rangkaian sokongan yang akan membantu kita mengharungi setiap cabaran kehidupan dan meraikan setiap kegembiraan. Justeru, hubungan kekeluargaan yang baik amat berharga dan perlu sentiasa dijaga demi menjamin kehidupan yang sejahtera dan bahagia.

“Institusi keluarga yang bahagia adalah sangat penting kepada pembangunan komuniti dan masyarakat dalam sesebuah negara. Keluarga bahagia yang sentiasa menerapkan nilai-nilai positif akan menjadi kunci kepada kejayaan bagi melahirkan generasi modal insan yang berkualiti. Malahan, menerusi keutuhan ikatan kekeluargaan, ia dapat mempengaruhi sesebuah masyarakat yang bersatu padu, harmoni dan sejahtera,” kata Baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah Serta Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman Ke-82 di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Berangkat hadir sama Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamed Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Che Puan Nur Julie Ariff.

Hadir sama Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta isteri; Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta isteri; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali serta isteri; Ahli-ahli Parlimen dan ADUN serta Pegawai-pegawai Tertinggi Negeri dan Persekutuan.

Dalam pada itu, Raja Muda turut mengambil kesempatan mengajak seluruh rakyat negeri Kedah agar sama-sama mendoakan kepada rakyat Palestin yang sedang diuji oleh Allah dan mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh Rejim Zionis terhadap rakyat Palestin. Marilah bersama-sama kita berdoa semoga rakyat Palestin akan menerima pembelaan yang sewajarnya dan akhirnya bebas daripada cengkaman kuasa Zionis.

Sumber : Warta Kedah