SULTAN KEDAH PELOPOR KEPADA “THE GREATER KEDAH”

ALOR SETAR (30 JUN 2024) – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff mencemar duli hadir ke Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah Serta Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman Ke-82.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata pelbagai inisiatif telah dirintis dan dilaksanakan oleh Kerajaan Tuanku Sultan demi memastikan Negeri Kedah berada di landasan yang tepat untuk menjadi “The Greater Kedah” dengan memanfaatkan seluruh potensi dan sumber yang ada.

“The Greater Kedah sebagaimana yang telah diilhamkan Baginda melalui titah diraja adalah sebuah gagasan besar negeri melibatkan seluruh aspek-aspek berkepentingan negeri untuk generasi hari ini serta generasi akan datang bergerak ke hadapan dan melangkaui batas masa. Aspek-aspek ini akan diberi perhatian secara khusus dan terancang melalui penyediaan sebuah bluerprint The Greater Kedah.

“Usaha ini bermula dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan Pelan Strategik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang julung kalinya diperkenalkan dengan menggariskan pelbagai inisiatif serta strategi dalam merencana pembangunan ekonomi Negeri Kedah dan kesejahteraan rakyat jelatanya.

“Dalam hal ini, sukacita patik ingin menyembah maklum bahawa prestasi ekonomi negeri Kedah pada tahun 2022 berada pada tahap yang memberangsangkan dengan merekodkan pertumbuhan KDNK sebanyak 7.2 peratus dan pada tahun 2023, pertumbuhan KDNK Negeri dijangka akan turut merekodkan pertumbuhan positif meskipun berhadapan pelbagai cabaran.

“Prestasi positif ekonomi Negeri Kedah antara lainnya disumbang oleh ekosistem pelaburan yang menarik dan berdaya maju yang menjadikan negeri ini terus kekal menjadi pilihan pelabur dalam dan luar negara dengan merekodkan jumlah pelaburan pada tahun 2023 antara yang tertinggi dalam negara berjumlah RM28.7 bilion yang menjana 9,761 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah Serta Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman Ke-82 di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin; Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamed Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Che Puan Nur Julie Ariff.

Hadir sama Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta isteri; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali serta isteri; Ahli-ahli Parlimen dan ADUN serta Pegawai-pegawai Tertinggi Negeri dan Persekutuan.

Dalam pada itu, Sanusi berkata nod-nod pembangunan utama negeri yang dipacu oleh perancangan projek berimpak tinggi melibatkan Pembangunan Koridor Bandar Sempadan di Daerah Kubang Pasu dan Padang Terap, Pembangunan Kedah Aerotropolis di Daerah Kuala Muda, Bandar Teknologi di Daerah Kulim serta Pembangunan Tenaga dan Pelabuhan di Daerah Yan akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Baginda dalam usaha mengukuhkan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

“Kerajaan Baginda akan terus berperanan memastikan keterjaminan bekalan makanan mencukupi dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM9.52 juta yang meliputi projek peningkatan hasil tanaman padi (luar jelapang), pembangunan industri ternakan, industri tanaman ladang dan buah-buahan.

“Kerajaan Baginda sedang menggiatkan usaha menyemarakkan industri pelancongan melalui Tahun Melawat Kedah 2025. Kempen ini telah dilaksanakan dengan membuat persiapan yang rapi bagi memastikan ketersediaan infrastruktur yang baik untuk dinikmati oleh para pelancong yang datang ke Negeri Kedah. Dalam usaha meningkatkan kemudahan dan pembaikan asas pelancongan, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM1.8 juta untuk menambahbaik prasarana pelancongan sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Kedah 2025 khasnya dan Tahun Melawat Malaysia 2026 amnya.

“Kelestarian alam sekitar juga sentiasa menjadi agenda utama Kerajaan Baginda untuk memastikan khazanah yang tidak ternilai ini kekal terpelihara demi kelangsungan hidup generasi kini serta yang akan datang antaranya memperkenalkan konsep Geotourism melalui Program Jejak Geopark yang melibatkan Geopark Global UNESCO Langkawi dan Jerai Geopark akan dipromosikan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri. Selain itu, Kerajaan Baginda juga telah meletakkan sasaran untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai pulau pelancongan yang terbersih di dunia.

“Program Kedah Sejahtera yang meliputi inisiatif bantuan dan sumbangan kepada rakyat miskin seperti Bantuan Beras Sejahtera, bantuan khas kepada golongan sakit terlantar dan golongan yang memerlukan bantuan bagi peralatan perubatan ketika mendapatkan rawatan di hospital merupakan inisiatif kesejahteraan dan kebajikan rakyat yang dilaksanakan oleh Kerajaan Baginda bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan miskin, malah melangkaui rakyat Kumpulan B40 yang memerlukannya antaranya adalah Tabung Wanita Sejahtera dan Anakku Sejahtera,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sanusi menambah bagi tahun 2024 ini juga, Kerajaan Baginda telah memperuntukkan RM18.8 juta bagi melaksanakan projek-projek pembangunan yang terdiri daripada Projek Pembangunan Pembaikan Rumah Keluarga Miskin dan Perumahan Awam, Projek Pembangunan Prasarana Desa dan Ameniti Sosial, menaik taraf prasarana KedahNet. Selain itu, turut dilaksanakan ialah projek membina dan menaik taraf pejabat dan kediaman rasmi Penghulu serta pembinaan ruang niaga di bawah Pihak Berkuasa Tempatan.

“Selain itu, Kerajaan Baginda telah mengambil inisiatif untuk membangunkan Kampung Tersusun di seluruh Negeri Kedah dengan menyediakan lot tanah berkeluasan 4,000 kaki persegi kepada golongan miskin dan golongan yang memerlukan tanah bagi tujuan membina rumah kediaman. Sukacita patik ingin menyembah maklum bahawa hasrat membangunkan Kampung Tersusun ini turut mendapat perhatian khusus Kerajaan Persekutuan dalam agenda menoktahkan kemiskinan dan membantu golongan yang tidak berkemampuan.

“Kedudukan istimewa Baginda sebagai penaung dan pemelihara kesucian Agama Islam yang berteraskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jama’ah amatlah disanjung dan dijunjung oleh patik dan sekalian rakyat yang beragama Islam. Justeru, bagi memastikan agenda syiar Islam terus menyinar dan ditegakkan, Kerajaan Baginda telah memberi tumpuan memperkemas prasarana menerusi program menaik taraf dan menyelenggara masjid serta surau dan juga memperkasa institusi pengajian Islam melibatkan UNISHAMs, IQDAR, Lembaga Maktab Mahmud, Sekolah Agama dan Tadika Islam yang berdaftar melalui peruntukan tahunan yang disediakan.

“Dalam pada itu, Kerajaan Baginda tekad memelihara keharmonian dan kedamaian beragama berlandaskan Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah dan Perlembagaan Persekutuan. Dalam erti kata yang lain, selain Islam sebagai agama bagi negeri ini, agama-agama lain bebas untuk diamalkan.

“Sebagai sebuah negeri yang rencam pelbagai kaum dengan bangsa dan agama, semangat perpaduan tetap mekar dengan berpaksikan kepada nilai keharmonian dan kesepakatan yang tinggi di kalangan rakyat jelata,” tambahnya.

Sumber : Warta Kedah