SINTOK (10 November 2024) – Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-37 yang akan berlangsung selama lima hari mulai hari ini hingga 14 November 2024 mendapat perkenan Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah selaku Tuanku Canselor mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah di majlis konvokesyen ini kepada seramai 114 graduan yang menerima ijazah dan pingat masing-masing.
Graduan terdiri daripada penerima anugerah dan pingat seramai 84 orang, Doktor Pendidikan seorang, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Golf) 21 orang, dan Sarjana Sains (Penyelidikan Operasi dan Analitik) lapan orang.
Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah sebagai sebuah universiti yang bertanggungjawab dalam melahirkan generasi peneraju masa hadapan, UUM sentiasa bersedia untuk menyediakan individu yang mempunyai bakat yang terbaik kepada negara. Institusi ini tidak hanya berperanan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga berusaha membentuk sahsiah dan kepimpinan yang berintegriti dalam kalangan graduannya.
“Tanggungjawab ini selaras dengan hasrat untuk melahirkan modal insan yang berupaya membawa negara kita ke arah kemajuan dan kemakmuran yang lebih gemilang. Pada hari ini, para graduan akan menerima ijazah masing-masing. Tetapi para graduan harus sedar, hari ini bukan penamat kepada proses pembelajaran.
“Para graduan harus ingat, seandainya menghadapi cabaran dan kegagalan, sebenarnya itu adalah sebahagian daripada perjalanan menuju kejayaan. Kegagalan boleh membentuk ketahanan diri dan membantu memahami kekuatan serta kelemahan diri. “Success is not final, failure is not fatal, it is the courage to continue that counts.”
“Seandainya anda telah berjaya mencapai kejayaan di dalam kerjaya dan kehidupan, seharusnya nilai-nilai moral yang dimiliki, hendaklah tidak dikorbankan. “Leadership is not about being in charge. It is about taking care of those in your charge” Ini bermakna kepimpinan yang sebenar bermula dengan menjaga kebajikan orang lain dan sentiasa berpegang kepada prinsip kejujuran,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian dalam ucapannya sempena Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-37 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM di sini, hari ini.
Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang.
Dalam perkembangan sama, Baginda turut bertitah bahawa bekerjalah dalam bidang yang anda minati, Insyallah ianya akan memberi kepuasan kepada anda. “Do what you love, and you’ll never work a day in your life” Para graduan sekalian, kebahagiaan dalam kerjaya tidak datang semata-mata daripada gaji atau gelaran tetapi daripada melakukan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Oleh itu, setiap daripada anda semua seharusnya mempunyai tanggungjawab untuk memanfaatkan bakat dan ilmu yang ada bagi kepentingan negeri dan negara tercinta. Universiti ini telah mendidik dan melatih anda dalam pelbagai bidang keilmuan.
“Jadilah individu yang membanggakan keluarga, universiti dan negara. Semoga saudara saudari terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi dan menjadi pemangkin kepada kemajuan serta kesejahteraan Malaysia,” ujar Baginda.
Konvokesyen selama lima hari bermula hari ini meraikan seramai keseluruhan 6,742 graduan di mana seramai 5,539 adalah terdiri daripada graduan sarjana muda manakala 1,126 merupakan graduan pascasiswazah terdiri daripada graduan Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana serta selebihnya 77 graduan Diploma Eksekutif.
Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Pelajaran DiRaja dikurniakan kepada Muhammad Shuib Rosli, 23, (Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan Dengan Kepujian) dan Emina Kulasic Bong Ei Min, 24, (Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa Dengan Kepujian) yang menerima tunai RM7,500 beserta sijil manakala Pingat Emas Canselor dikurniakan kepada Nur Eina Athirah Norazman, 23, (Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Dengan Kepujian) yang menerima tunai RM4,000 beserta sijil.
Sumber Berita : Warta Kedah