A- A A+

26bukan

BALING 26 Ogos - Projek penanaman musang king yang dijalankan di Gunung Inas dilaksanakan tanpa penglibatan Jabatan Pertanian Negeri Kedah.

Menjelaskan status projek itu, Exco Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan serta Pembangunan Insan, Azman Nasrudin berkata, projek berskala besar itu diluluskan ketika zaman pemerintahan BN.

Menurutnya, ia melibatkan Menteri Besar Incorporated (MBI) dan sebuah syarikat swasta.

"Projek itu dibawah MBI ketika BN perintah dan diserahkan kepada sebuah syarikat swasta," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian Negeri Kedah mempunyai prosedur tersendiri dalam menjalankan aktiviti pertanian.

"Jabatan pertanian tidak terlibat langsung dengan projek tersebut. Jika terlibat, pihak jabatan akan melakukan kajian terlebih dahulu tanaman apa yang sesuai ditanam beserta lokasi.

"Apabila tidak terlibat dengan teknikal jabatan pertanian ini masalah yang timbul (aduan penduduk)," katanya.

Azman berkata, bagaimanapun jabatan pertanian akan mengambil tindakan terhadap perkara tersebut.

"Jabatan pertanian bukan sahaja tidak terlibat, malah tidak pernah dijemput. Pihak berkenaan laksanakan sendiri projek terbabit," katanya.

Menurutnya, sebagai exco, beliau tidak akan sesekali lepas tangan terhadap masalah yang timbul sebaliknya akan melakukan siasatan terperinci.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kebimbangan penduduk mengenai projek musang king yang didakwa mengundang kerosakan alam sekitar.

Pada Mei lalu, banjir lumpur merosakan tanaman penduduk Kampung Seneyek termasuk ladang getah milik Felcra.

Dalam kejadian itu, laluan lebuh raya dari Kupang ke Grik turut dihalang tanah runtuh hingga lorong laluan ditutup.

Sumber air bagi penduduk di lima kampung turut terjejas susulan kolam takungan di atas Gunung Inas tercemar setiap kali hujan lebat.

Oleh : Muhammad Ammar Mubassyir

Sumber : Sinar