A- A A+

karnival pekerjaan

Mukhriz (tengah) bergambar bersama pemenang dan peserta pertandingan mewarna kanak-kanak yang diadakan sempena Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Keusahawanan Parlimen Jerlun.

JERLUN  25 NOVEMBER - Kerajaan negeri akan membantu graduan Kedah yang belum mempunyai pekerjaan dengan menganjurkan lebih banyak karnival kerjaya di negeri ini.Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya tidak mahu masih terdapat graduan di negeri ini menganggur dalam tempoh lama ekoran tidak mendapat peluang atau maklumat berkaitan.

Menurutnya, karnival kerjaya sentiasa diadakan dengan kerjasama syarikat swasta dalam menawarkan peluang kerja dalam pelbagai bidang.“Jika boleh, saya tidak mahu masih ada anak Kedah menganggur terutama graduan yang sudah lepasi graduasi selepas enam bulan."Namun masih ada graduan yang memiliki sijil tiada kerja lebih setahun tamat pengajian, kita akan beri perhatian perkara ini,” katanya selepas merasmikan Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Keusahawanan Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Jerlun hari ini.Mukhriz berkata, pendedahan kepada karnival kerjaya amat perlu untuk menerapkan keinginan untuk berjaya di semua peringkat pelajar.

“Bagi yang kurang cemerlang akademik, tak perlu putus asa sebaliknya boleh memilih bidang kemahiran yang turut tawarkan banyak peluang kerja malah pendapatan juga lumayan,” katanya.Menurutnya, galakan turut diberikan agar pelajar memilih Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) serta bidang keusahawanan bagi membolehkan mereka berdikari.Apabila ekonomi sedikit lembab, ramai ceburi bidang usahawan sebagai sumber pendapatan yang konsisten untuk tingkatkan ekonomi keluarga. Tidak perlu kelayakan tinggi, selagi ada minat dan mudah dilatih,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mendapati anak Kedah mempunyai kecenderungan dalam bidang kulinari yang juga antara bidang berpotensi tinggi untuk diceburi.“Karnival ini diharap dapat melahirkan anak muda yang mempunyai jati diri kuat selain mampu bersaing dalam semua bidang,” katanya.Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Keusahawanan Parlimen Jerlun itu menawarkan 736 jawatan membabitkan 12 syarikat swasta serta penglibatan 33 agensi.Pada karnival itu, Mukhriz turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM300 setiap seorang kepada 390 pelajar yang layak memasuki institut pengajian tinggi (IPT).

SUMBER : SINAR