A- A A+

starview
Ainol (tengah) mendengar penerangan berkaitan Star View di Menara Alor Setar di sini hari ini. (Gambar kecil: Ainol Shaharina Sahar)

ALOR SETAR 16 JULAI - [DIKEMASKINI] Star View di Menara Alor Setar di sini dijangka akan dibuka kepada pengunjung dalam masa terdekat.Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Menara Kuala Lumpur, Ainol Shaharina Sahar berkata, idea membina Star View di Menara Alor Setar diilhamkan daripada kejayaan dua unit Sky Box yang dibina di Sky Deck Menara Kuala Lumpur.

Menurutnya, dua unit Star View dibina dengan lantai kaca bersaiz empat meter (m) keluar dari tebing pelantar di aras empat pada ketinggian 105m dari atas permukaan bumi."Star View 1 merupakan kotak kaca berwarna hijau manakala Star View 2 adalah kotak kaca berwarna kuning yang kedua-duanya melambangkan salah satu warna bendera Kedah."Star View 1 yang terletak menghadap utara membolehkan pengunjung menyaksikan keindahan panorama sawah padi dengan berlatar belakang Gunung Keriang selain boleh melihat Lebuhraya Darul Aman dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim," katanya pada taklimat media di Menara Alor Setar di sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Menara Alor Setar, Mohamad Zamri Abdul Razak.Ainol Shaharina berkata, Star View 2 yang menghadap selatan memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan bangunan bersejarah seperti Masjid Zahir, Balai Nobat dan Balai Besar."Jika bernasib baik pengunjung juga berpeluang melihat pemandangan Pulau Langkawi pada hari cerah kebiasaannya selepas hujan," katanya.Beliau berkata, diharap pengunjung khususnya penduduk Bandar Alor Setar tidak akan melepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman di Star View yang bagaikan berjalan di atas awan apabila dibuka nanti.

"Kita sentiasa mengutamakan keselamatan di mana pembinaan Star View ini juga dilengkapi tiga lapisan kaca tebal selain dipantau pengawal bertugas."Hanya enam orang dibenarkan berada di atas Star View dalam satu-satu masa," katanya.Katanya, pihaknya turut meningkatkan beberapa kemudahan baharu seperti lif hidraulik untuk membawa pengunjung dari MegaView di aras tiga ke Star View di aras empat."Kita juga menyediakan tempat menunggu yang selesa dan reka bentuk lantai serta kemasan dinding menarik dan eksklusif untuk melengkapkan lagi pengalaman pengunjung di Star View," katanya.Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menawarkan promosi masuk percuma ke Pelantar Pemandangan Tertutup Menara Alor Setar selama sebulan bermula 1 hingga 31 Julai depan bermula jam 10 pagi hingga 10 malam sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan.

SUMBER : SINAR