GRADUAN TVET IDAMAN INDUSTRI

PELAJAR sekolah serta penuntut institut pengajian tinggi berkunjung pelbagai pameran kemahiran pada Minggu TVET Negara 2022 di Shah Alam, semalam. FOTO Faiz Anuar

ALOR SETAR (23 JUN 2022) : Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) komited memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memastikan golongan belia memiliki kemahiran seiring dengan kehendak industri mengikut peredaran zaman.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya kini giat mempromosikan bidang berkenaan termasuk menganjurkan Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu ini di Dataran Amanjaya Mall, Sungai Petani.

Katanya, TVET@KPLB adalah gabungan 280 institusi pendidikan TVET di bawah KPLB yang menawarkan 515 kursus atau program bermula daripada sijil sehinggalah ke peringkat ijazah kedoktoran.

“KPLB melalui sejumlah 280 institusi pendidikan TVET sentiasa berusaha menambah baik kesemua program dan kursus yang ditawarkan agar mempunyai kekuatan dan berpadanan dengan keperluan industri.

“Oleh itu, KPLB telah menyarankan kepada semua institusi pendidikan TVET@KPLB untuk mengkaji semula modul atau silibus program sedia ada supaya bersesuaian dan memenuhi kehendak industri agar graduan yang dilahirkan kelak mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.

“Kaedah pengajaran dan pembelajarannya kini tidak boleh statik seperti dahulu, seperti hanya membaiki kereta secara tradisi di bengkel. TVET perlu memasukkan elemen seperti robotik dan kecerdasan buatan dalam kaedah pengajaran dan pembelajarannya kerana teknologi ini yang mendominasi masa depan,” katanya ketika ditemui di kediaman beliau di sini.

Justeru, Mahdzir berkata, KPLB juga ke hadapan dalam memperkenalkan bidang baharu TVET bagi melahirkan bakat diperlukan untuk pasaran kerja pada masa hadapan.

Beliau yang juga bekas menteri pendidikan bagaimanapun tidak menafikan terdapat cabaran yang perlu dihadapi bagi mengubah persepsi masyarakat apabila TVET masih tidak dipandang sebagai pilihan utama untuk melanjutkan pelajaran.

“Kita perlu ubah cara masyarakat kita berfikir, di negara maju seperti Jerman, TVET sudah menjadi pilihan utama untuk anak muda di sana berbanding laluan akademik, kerana itu mereka mampu mengeluarkan kereta yang berkualiti seperti Mercedes, BMW, Volkswagen dan Audi.

“Dalam masa yang sama kita perlu mempromosi atau memperkenalkan ikon dalam bidang TVET. Sebagai contoh seorang jurukimpal dasar laut dari Malaysia. Dia bekerja di Dubai dengan gaji dibayar dalam USD, jika ditukar dalam RM boleh mencapai hampir RM40,000 sebulan.

“Keputusan SPM dia tidak cemerlang dan dia pilih untuk mengambil sijil kemahiran, dia berada di landasan yang betul dan berjaya sehingga menerima gaji yang tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata, media juga seperti Harian Metro perlu bersama-sama memainkan peranan untuk mempromosi bidang TVET yang boleh memberi pulangan lumayan.

Katanya, pelajar dan belia perlu diberi kesedaran bahawa bidang TVET ini salah satu laluan yang paling sesuai untuk melahirkan generasi tenaga kerja mahir yang dapat memenuhi keperluan industri baharu yang amat kritikal pada masa kini.

“Seiring dengan perkembangan revolusi industri 4.0 (IR 4.0) di seluruh dunia, landskap dunia pekerjaan mula berubah di mana banyak sektor pekerjaan akan semakin hilang dan akan digantikan dengan pekerjaan berasaskan kecerdasan buatan yang memerlukan tenaga kerja mahir dalam bidang berkaitan IR 4.0.

“Institusi TVET juga tidak ketinggalan dalam menambah baik kurikulum latihan, meningkatkan kemahiran tenaga pengajar dan menyediakan fasiliti serta peralatan yang dapat memenuhi keperluan kurikulum latihan yang semakin berkembang.

“Bidang TVET ini juga telah terbukti melahirkan ramai graduan yang mempunyai peluang pekerjaan yang cerah dalam industri. Sebagai contoh, mengikut statistik pada tahun 2021 kebolehpasaran graduan TVET mencapai sehingga 87 peratus berbanding kebolehpasaran graduan IPT tempatan iaitu 84.4 peratus,” katanya.

Menurut beliau, TVET@KPLB juga mempunyai kerjasama yang utuh dan berterusan dengan industri untuk memastikan kehendak semasa industri dipenuhi.

“Apabila terdapat kerjasama dengan pihak industri, sudah tentu tenaga pakar industri dan pengajar akan dapat membimbing pelajar untuk meningkatkan kemahiran sejajar dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi semasa.

“Sekiranya kemahiran yang dimiliki oleh pelajar sepadan dengan kemahiran yang dikehendaki pihak industri, sudah pasti peluang pekerjaan bagi graduan TVET akan lebih terjamin dan kerjaya berpendapatan tinggi dapat direalisasikan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai harapan beliau terhadap penganjuran Ekspo TVET@KPLB 2022, beliau berkata, ekspo itu diharap dapat menarik minat masyarakat bandar dan luar bandar khususnya pelajar dan belia untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan seterusnya menyambung pengajian dalam bidang TVET di Institusi TVET di bawah KPLB.

“Program TVET@KPLB yang dianjurkan menyasarkan peningkatan pendaftaran pelajar di semua institusi pendidikan TVET@KPLB setiap tahun serta kebolehpasaran graduan TVET melebihi 86.7 peratus pada tahun 2025 selaras dengan sasaran KPI Nasional yang ditetapkan. Sehingga 31 Mac 2022, jumlah pelatih di institusi TVET@KPLB adalah sebanyak 48,475 pelajar.

“Institusi Pendidikan TVET@KPLB berupaya melahirkan graduan yang berkualiti mengikut kehendak pasaran kerja dan seterusnya menawarkan peluang masa depan yang cerah kepada para pelajar dan belia untuk mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang kerjaya berpendapatan tinggi ataupun menjadi usahawan berjaya,” katanya.

Sumber : Harian Metro

MalayEnglishArabicChinese (Simplified)