A- A A+

Harta Pusaka

1. APAKAH HARTA PUSAKA KECIL?

  1. Harta pusaka kecil ialah harta yang ditinggalkan oleh simati yang mempunyai ciri-ciri berikut:
  2. Simati tidak meninggalkan wasiat ( di bawah Akta Wasiat 1959 );
  3. Harta itu terdiri daripada: harta tak alih (tanah) dan lain-lain harta alih seperti Wang Tunai, Saham, KWSP, ASN, ASB, ASJ dan sebagainya;
  4. Jumlah nilai harta itu hendaklah tidak melebihi RM 2 juta pada tarikh permohonan dibuat (Mulai 1 September 2009)

 

2. SIAPAKAH YANG BERHAK MEMOHON?

 Di antara mereka yang berhak memohon adalah seperti berikut:

  1. Waris-waris simati seperti balu lelaki atau perempuan, anak laki-laki atau perempuan, ibu atau bapa, majlis agama Islam (Baitulmal) dan sebagainya;
  2. Pembeli di bawah surat perjanjian jual beli yang sah;
  3. Pemegang gadaian atau pemegang pajakan tanah simati;
  4. Penghulu atau Pegawai Petempatan yang diarahkan oleh Pentadbir Tanah;
  5. Amanah Raya Berhad.

Keganasan Rumah Tangga

Apakah erti keganasan rumahtangga ?

  • Sengaja / cuba meletakkan mangsa dalam ketakutan
  • Mencederakan secara fizikal
  • Memaksa / mengancam melakukan perbuatan seksual
  • Mengurung / menahan tanpa kerelaan
  • Khianat / merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan / kegusaran.
 
Bagaimanakah caranya untuk melaporkan kes keganasan rumahtangga ?

Mangsa keganasan rumahtangga boleh melaporkan kejadian keganasan terhadapnya ke:

  • Balai Polis yang berhampiran atau pengaduan boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan yang berhampiran
  • Menghubungi talian Teledera 1 800 88 3040
  • Merujuk terus ke hospital yang berhampiran sekiranya dicederakan
 
Dimanakah tempat selamat bagi kes keganasan rumahtangga ?
(AKRT 1994) Senarai Institusi JKMM (Diluluskan oleh YB Menteri KPWKM pada 15 Januari 2007)
  • Rumah Seri Kenangan Bedong, Kedah
  • Rumah Seri Kenangan Tanjung Rambutan, Perak
  • Taman Sinar Harapan Cheras, Selangor
  • Taman Sinar Harapan Kuala Kubu Bharu, Selangor
  • Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Negeri Sembilan
  • Rumah Seri Kenangan Seremban, Negeri Sembilan
  • Rumah Seri Kenangan Cheng, Melaka
  • Rumah Seri Kenangan Johor Bahru, Johor
  • Taman Sinar Harapan Tampoi, Johor
  • Taman Sinar Harapan Jubli, Johor
  • Rumah Ehsan, Dungun, Terengganu

Kemasukan Kanak-Kanak Tidak Terkawal ke Institusi JKMM

Bagaimanakah caranya untuk memasukkan kanak-kanak tidak terkawal (beyond parental control) atau nakal ke Institusi Pemulihan JKM? 

Ibu bapa atau penjaga yang sah bagi kanak-kanak, boleh membuat permohonan bertulis kepada Mahkamah Bagi Kanak-kanak dengan menyatakan mohon bantuan pemulihan terhadap tingkah laku yang sering dilakukan oleh anak yang tidak terkawal. Tingkah laku itu mungkin mendorong kepada bahaya jenayah atau mendorong kepada bahaya moral. Berdasarkan surat permohonan itu mahkamah akan mengarahkan Pegawai Kebajikan Masyarakat / Pegawai Akhlak menyiasat keadaan sebenar dengan menyediakan satu Laporan Akhlak. Mahkamah akan menetapkan satu tarikh untuk bersidang dengan kehadiran pemohon, anak yang tidak terkawal dan Pegawai Akhlak. Mahkamah boleh membuat keputusan samada:

Memerintahkan kanak-kanak diletak dalam Pengawasan Pegawai Akhlak dalam tempoh tertentu. Satu hingga tiga tahun. Boleh juga mengenakan syarat tinggal di Asrama Akhlak tidak lebih satu tahun. Selepas tinggal di asrama kanak-kanak akan diawasi selama tempoh baki Perintah Pengawasan yang ada. Jika kanak-kanak masih mengulangi tingkah laku negatif, boleh dihantar ke Sekolah Tunas Bakti.

Menghantar kanak-kanak itu ke Sekolah Tunas Bakti selama 3 tahun. Selepas keluar dari institusi pulang ke pangkuan keluarga, kanak-kanak masih diselia oleh Pegawai Akhlak selama satu tahun. Jika melanggar syarat yang ditetapkan boleh dikembalikan semula ke institusi.

Kerja Kesukarelaan

Bagaimanakah caranya untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarela ?

*Mencari maklumat mengenai organisasi sukarela dan mengenai peluang, bidang serta tugas sebagai sukarelawan.

*Memilih bidang yang diminati dan memilih golongan yang ingin dibantu bersesuaian dengan kebolehan dan kemahiran diri.

*Menentukan cara dan waktu bersukarela serta fikirkan tugas-tugas dan tanggungjawab lain.

*Perlu dipertimbangkan mengenai latihan, gembira dengan tugas tersebut, melibatkan ahli keluarga dan perkara-perkara yang sensitif kepada diri sendiri.


Bolehkah Pertubuhan Sukarela memohon bantuan daripada JKM ?

Pertubuhan Sukarela Kebajikan boleh memohon bantuan daripada JKM mengikut kriteria kelayakan berikut:

*Pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

*Pertubuhan bertaraf tempatan.

*Pertubuhan bercorak Kebajikan (welfare-related) yang mengendalikan program berbentuk pencegahan, pemulihan, jagaan dan perlindungan serta pembangunan bagi kumpulan sasar di bawah tanggungjawab dan fungsi Jabatan.

*Pertubuhan atau organisasi yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan Akta seperti Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak Daerah dan Pasukan Perlindungan Kanak-kanak serta Lembaga yang di bawah Akta-akta berkaitan.

*Pertubuhan yang telah berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 bagi yang mengendalikan program institusi berkediaman atau Pusat Jagaan Harian

Kes Penderaan Kanak-Kanak

Bagaimanakah caranya untuk melaporkan kes penderaan kanak-kanak / kes pembuangan bayi ?

  • Talian telefon Teledera: 1 800 88 3040
  • Melaporkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berhampiran dengan tempat tinggal pelapor
  • Melaporkan kepada mana-mana balai polis / Pondok Polis yang berhampiran
  • Mana-mana ahli Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak / Pusat Aktiviti kanak-Kanak yang terdapat di kawasan berlakunya penganiayaan
  • Merujuk terus ke hospital yang berhampiran

Lesen Pelelong

Soalan : Apakah syarat-syarat permohonan Lesen Pelelong dan dokumen sokongan yang diperlukan ?

  1. Warganegara Malaysia
  2. Keutamaan diberikan kepada rakyat tempatan dan menetap di Kedah
  3. Berumur 18 tahun ke atas (had umur kelayakan ialah 65 tahun)
  4. Kelulusan sekurang-kurangnya SPM dengan kepujian dalam Bahasa Melayu
  5. Tidak ada kesalahan jenayah
  6. Tidak diisytiharkan sebagai muflis
  7. Fasih berbahasa Melayu

       Dokumen sokongan

  1. Salinan Kad Pengenalan
  2. Surat Sokongan daripada Pegawai Daerah/Pentadbir Tanah/Pendaftar Mahkamah
  3. Salinan Sijil Akademik
  4. Biodata Pemohon

Soalan : Apakah tatacara proses kelulusan dan berapa lama tempoh yang diambil untuk proses kelulusan?

  1. Borang yang lengkap akan hantar ke IPK untuk saringan
  2. Pemohon akan dipanggil oleh IPK untuk ditemuduga
  3. Setelah lulus saringan, permohonan akan dikemukakan untuk kelulusan MMK

       Jangkamasa proses untuk kelulusan

       3 - 6 bulan

Penubuhan TASKA dan Pusat Jagaan

Bagaimana proses penubuhan TASKA dan Pusat Jagaan?

Jabatan Kebajikan Masyarakat bertindak sebagai ‘final agency' bagi pengeluaran Perakuan Pendaftaran TASKA atau Pusat Jagaan. Ini bermakna sebelum suatu Perakuan itu dikeluarkan, kelulusan dari agensi-agensi teknikal yang lain perlu diperolehi seperti kelulusan Majlis Berkuasa Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kesihatan.

Satu Buku Garis Panduan Penubuhan TASKA bolehlah didapati daripada mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri atau Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, pada harga RM10.00.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, pemohon bolehlah mendapatkan penjelasan dari mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah terdekat.

Antara dokumen-dokumen yang perlu disertakan bersama Borang Permohonan Pendaftaran TASKA ke PKMD adalah:

* Kelulusan tiga agensi teknikal terkini / masih sah tempoh lakunya.
* Pelan lantai beserta pengiraannya (dalam ukuran meter)
* Senarai menu mingguan
* Senarai aktiviti mingguan
* Senarai pekerja (nama penuh, No. K/P dan kelulusan)
* Sijil Pendaftaran Syarikat / Pertubuhan
* Senarai aktiviti bersama ibubapa
* Wang Pos / Kiriman Wang bernilai RM50.00 atas nama Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Malaysia.


Bagi permohonan pendaftaran baru TASKA, borang permohonan terdapat di bahagian belakang Buku Garis Panduan Penubuhan TASKA, sementara bagi permohonan pendaftaran semula, 1 set borang permohonan boleh didapati pada harga RM4.00 di mana-mana PKMD atau negeri atau Ibu Pejabat.

Bagi borang permohonan Pusat Jagaan pula, ianya boleh didapati secara percuma di mana-mana PKMD atau negeri atau Ibu Pejabat. Dokumen-dokumen yang perlu disertakan bagi tujuan pendaftaran adalah sama dengan TASKA, hanya wang pos / kiriman wang adalah bernilai RM10.00 sahaja

Perkhidmatan Anak Pelihara

Apakah proses-proses yang perlu dilakukan oleh bakal ibu dan bapa?

Bagi individu yang berminat untuk memohon anak pelihara, permohonan boleh dilakukan dengan mengisi borang permohonan yang boleh didapati melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) dimana pemohon bermaustautin/tinggal ataupun melalui borang yang boleh dimuat turun dari laman web ini.

Antara dokumen-dokumen yang perlu disertakan adalah:

1) Gambar ukuran pasport (suami/isteri)
2) Surat sokongan/pengesahan daripada Pegawai Perubatan.
3) Salinan sijil nikah/sijil pendaftaran perkahwinan.
4) Salinan kad pengenalan pemohon (suami dan isteri).
5) Lain-lain dokumen yang berkaitan seperti penyata gaji dll.

Setelah permohonan diterima, pemohon akan melalui satu sesi temuduga bersama Pegawai Kebajikan Masyarakat bagi tujuan penyediaan laporan sosial pemohon. Perkara-perkara yang akan di bincangkan dalam sesi tersebut adalah seperti berikut:-
1) Menilai latar belakang sosial pemohon.
2) Menilai kesanggupan pemohon menjadi keluarga pelihara.
3) Menjelaskan tentang implikasi menjadi keluarga pelihara.
4) Kesangguran pemohon memenuhi syarat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 dan Akta Pengangkatan 1952 yang mana bersesuaian.

Siapakah yang boleh memohon pengambilan anak pelihara?


Pasangan suami-isteri yang sah, ibu tunggal (single parents) yang menetap/ tinggal di Malaysia

Bila dan bagaimanakah anak angkat dapat disahkan sebagai anak pelihara mengikut undang-undang?

Permohonan boleh dibuat dalam masa tiga bulan selepas menerima kanak-kanak dalam penjagaan pemohon. Permohonan hendaklah dibuat kepada Mahkamah Seksyen atau Mahkamah Tinggi dengan melantik peguam untuk urusan mendaftarkan Notis Pengangkatan. Akta yang digunapakai bagi proses pengesahan pengangkatan cara ini adalah merujuk kepada Akta Pengangkatan 1952 (Akta 257).

Permohonan cara kedua adalah dengan membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara di bawah Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (Akta 253). Permohonan untuk pengesahan ini hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak pelihara dalam penjagaan keluarga pelihara. Bagi keluarga yang beragama Islam permohonan untuk pengesahan anak pelihara hanya boleh dibuat melalui Akta 253, iaitu Akta Pendaftaran Pengangkatan sahaja. Permohonan untuk pengesahan pengangkatan hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak pelihara berada dalam jagaan pemohon. Permohonan boleh dibuat di Pejabat Pendaftaran Negara.

Adakah menjadi satu kesalahan memelihara anak pelihara tanpa membuat pendaftaran atau memaklumkan kepada JKM?


Pengambilan anak pelihara secara sendiri perlu dimaklumkan kepada JKM mengikut seksyen 35(1) Akta kanak-Kanak 2001 tidak lewat daripada 1 minggu selepas pengambilan, dan sekiranya gagal memaklumkan, dan jika disabitkan kesalahan denda maksima adalah sebanyak RM10,000.00 atau 2 tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.

Perkhidmatan Bantuan Kewangan

Apakah bantuan-bantuan kewangan yang disediakan kepada golongan miskin atau berkeperluan yang memohon dengan JKM ?

JKM mengendalikan 2 skim bantuan kewangan iaitu Skim Bantuan Am Negeri dan Skim Bantuan Persekutuan. Skim Bantuan Am Negeri - adalah tidak seragam di antara negeri-negeri. Di antara jenis-jenis bantuan yang diberikan ialah bantuan bulanan kepada warga tua, balu dan tanggungan, anak yatim miskin, OKU, tanggungan banduan, pusat tahanan dan pesakit. Bantuan sekaligus seperti Bantuan Sekolah, Bantuan Alat Tiruan / Sokongan, Bantuan Pemulihan Bencana dan Bantuan Segera bagi kes-kes terdampar atau kes-kes yang memerlukan bantuan serta merta. Skim Bantuan Persekutuan - seragam di seluruh negara. Jenis-jenis bantuan yang diberikan ialah bantuan bulanan seperti Bantuan Penyaraan Kanak-kanak, Bantuan Anak Pelihara, Bantuan Orang Tua, Elaun Pekerja Cacat dan Bantua Am Persekutuan. Manakala bantuan sekaligus pula ialah Bantuan Geran Pelancaran, Bantuan Alat Tiruan / Sokongan dan Geran Pendidikan dan Latihan Kemahiran. Di bawah Skim Bantuan Am Persekutuan (Kuala Lumpur dan Labuan) juga terdapat bantuan sekaligus seperti Bantuan Sekolah, Bantuan Pemulihan Bencana dan Bantuan Segera bagi kes-kes terdampar atau kes-kes yang memerlukan bantuan serta merta.

Perkhidmatan Berkaitan Kanak-Kanak dan Keluarga

Apakah yang perlu dilakukan oleh orang awam yang menjumpai bayi yang terdampar?

* Mereka hendaklah menghubungi pihak polis atau menghantar bayi tersebut ke hospital

* Rujuk kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berdekatan.

Apakah kriteria-kriteria yang diperlukan oleh seseorang yang ingin memohon anak angkat?

Warganegara Malaysia. 

Mempunyai pendapatan yang tetap.

Tidak mempunyai penyakit yang memudaratkan.

Keutamaan kepada pemohon yang telah berkahwin dan tidak mempunyai anak.

Apakah bentuk keganasan yang membolehkan seseorang mangsa mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara mengikut Akta Keganasan Rumahtangga 1994?

Mangsa yang menghadapi kecederaan fizikal ataupun yang merasakan dirinya ketakutan.

Apakah tindakan yang perlu diambil jika terdapat kes pengabaian atau penderaan terhadap kanak-kanak?

Menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berdekatan.

Menghubungi polis.

Memaklumkan kepada Ketua Penduduk Setempat.

Dalam keadaan yang bagaimanakah seseorang klien boleh memohon Perintah Perlindungan (PO)?

Mangsa boleh memohon perintah tersebut di mahkamah semasa prosiding jenayah dibuat ke atas pendera dan telah dipertuduhkan mengikut kesalahan yang ditakrifkan dalam "Keganasan rumahtangga".