KEMELUT PENOREH GETAH DIBAWA KE MESYUARAT KABINET LUSA : MAHDZIR

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid ( tiga, kanan) menyerahkan watikah pelantikan kepada wakil sekolah yang terpilih untuk mengikuti projek UUM- PIBKS Membina Kesejahteraan Rakyat (Mekar), pada Isnin.

KUBANG PASU (19 SEPTEMBER 2022) : Kemelut dihadapi oleh penoreh getah dan pekebun kecil ketika ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, pada Rabu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengadakan perbincangan bersama pada Isnin, bagi menentukan inisiatif untuk meningkatkan pendapatan penoreh getah.

Mahdzir berkata, sebelum itu hasil perbincangan tersebut akan dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada esok (Selasa).

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Haim Hilman Abdullah serta Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Negeri Kedah, Zainol Abidin Mohamad.

Menurut Mahdzir, kerajaan memberi jaminan ada inisiatif tertentu yang sedang diusahakan untuk membantu pekebun kecil dan penoreh getah.

“Kedua- dua kementerian ini ada kolaboratif dan perkara ini saya fikir nak selesaikan minggu ini juga, bukan minggu hadapan,” katanya.

Pada 11 September lalu, KPLB memaklumkan sedang merangka dua cadangan untuk diusulkan kepada Ismail Sabri bagi manfaat pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Dua syor tersebut ialah sama ada menaikkan harga lantai getah sekerap daripada harga semasa RM2.50 sekilogram atau melanjutkan tempoh Bantuan Musim Tengkujuh daripada tiga bulan kepada enam bulan.

Sumber : Sinar Harian

MalayEnglishArabicChinese (Simplified)