A- A A+
 

 BIOGRAFI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA AL-AMINUL KARIM SULTAN SALLEHUDDIN IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH SULTAN KEDAH KE-29

 sultan

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN KEDAH DARUL AMAN
AL-AMINUL KARIM SULTAN SALLEHUDDIN IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH

 

KEPUTERAAN

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah diputerakan pada 30 April 1942 di Alor Setar, Kedah. Baginda merupakan anakanda kesembilan Almarhum Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-27. Paduka bonda Baginda bernama Almarhumah Sultanah Asma binti Almarhum Sultan Sulaiman yang merupakan anakanda Sultan Terengganu, Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

 

LATAR PENDIDIKAN

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan kemudian meneruskan pengajian Baginda di Kolej Sultan Abdul Hamid. Pengalaman belajar di Kolej Sultan Abdul Hamid, telah memberi pendedahan kepada Kebawah DYMM Sultan Sallehuddin untuk bergaul dengan pelajar-pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kedudukan. Disinilah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti di antaranya permainan ragbi, bolasepak dan di dalam Persatuan Perbahasan. Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang tempoh persekolahan baginda adalah pada tahun 1958, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin telah melibatkan diri dalam aktiviti berakit buluh dari Sungai Sik sehingga ke Sungai Kuala Muda yang memakan masa selama 4 Hari.

 

KELUARGA

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah bertemu jodoh dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha binti Tengku Ariff yang merupakan ahli kerabat DiRaja Negeri Kelantan. Pertemuan ini berlaku semasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin bertugas di Kelantan bersama Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD). Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah melangsungkan perkahwinan pada tanggal 26 November 1965. Hasil daripada perkahwinan tersebut, pasangan DiRaja ini telah dikurniakan 2 orang putera iaitu DYTM Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah yang diputerakan pada 2 Mac 1967 dan YTM Dato’ Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin yang diputerakan pada 27 April 1970.

DYTM Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin telah mendirikan rumahtangga dengan DYTM Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff dan dikurniakan 2 orang cahaya mata terdiri daripada seorang puteri dan seorang putera.

 

KERJAYA

Setelah menamatkan pelajaran di peringkat Senior Cambridge. Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bekerja sebagai guru sementara di Sekolah Kebangsaan Iskandar, Alor Setar pada tahun 1962. Demi menyahut saranan daripada paduka kekanda Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan minat baginda yang mendalam dalam bidang ketenteraan, Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah memilih untuk menjalani latihan kadet dan telah dihantar ke India untuk menjalani kursus ketenteraan di India Military Academy di Dehra Dun bermula daripada 23 Julai 1962 hingga 30 Jun 1963. Sekembalinya ke tanah air, Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan pada 12 Febuari 1964 dan ditempatkan di Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Sepanjang perkhidmatan, Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah terlibat dalam pelbagai operasi di sempadan Thailand/Kelantan, Kedah dan Perak.

 

Kemuncak operasi adalah semasa konfrantasi Indonesia terhadap Malaysia dimana Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama batalion mengambil alih tugas di Kalabakan dan sempadan Indonesia/Malaysia seperti di Kampong Mentadah, Simpang Tiga, Apas Balong dan sebagainya. Batalion Ke-2 RAMD kemudiannya telah dipindahkan ke Pengkalan Chepa, Kelantan pada tahun 1965 dan seterusnya ke Kem Sungai Besi pada tahun 1966.

 

Pada Tahun 1967, batalion Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah ditukarkan ke Sarawak untuk menjalankan operasi di kawasan sempadan Indonesia/Malaysia sehingga tahun 1968. Pada tahun 1969, batalion Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ditempatkan untuk bertugas di Kem Tok Jalai di Kedah. Selain daripada operasi di sempadan, batalion.

 

Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin juga turut menjalankan operasi di Sandakan, Sabah. Semasa peristiwa Mei 1969, batalion Kebawah DYMM Sultan Sallehuddin beroperasi di Pulau Pinang. Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah bersara daripada Perkhidmatan Angkatan Tentera pada tanggal 14 Februari 1974. Semasa dalam tempoh percutian persaraan tersebut, Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah menjalani latihan di Suruhanjaya Serbia (NPC) dan Malaysian Institute of Management (MIM). Selain itu, Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin juga pernah mengikuti kursus di Amerika Syarikat. Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran dan perniagaan di mana Kebawah DYMM Tuanku pernah berkhidmat di syarikat pembangunan hartanah, perusahaan perkayuan dan pembinaan.

 

YTM TUNKU TEMENGGONG KEDAH

Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah diisytiharkan sebagai Tunku Temenggong Kedah pada 28 November 1981. Baginda juga telah dilantik sebagai salah seorang Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada 13 Disember 2011 apabila paduka kekanda baginda Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memulakan tempoh pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-14. Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin diisytihar sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah menggantikan paduka kekanda Baginda Almarhum Dato’ Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar ibni Almarhum Sultan Badlishah yang mangkat pada 21 Mei 2014 dan Baginda memegang jawatan itu sehingga 12 Disember 2016. Jemaah Pemangku Sultan Kedah terbubar secara sendiri apabila Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14.

 

RAJA MUDA KEDAH

Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin dimasyhurkan sebagai Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Kedah yang ke-19 pada 15 Disember 2016 sempena keberangkatan pulang Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah setelah tamat tempoh lima tahun penggal pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14. Istiadat pemasyhuran telah diadakan dengan penuh istiadat di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

 

Baginda menggantikan D.Y.T.M Raja Muda Kedah sebelum ini, Almarhum Tunku Abdul Malik ibni Almarhum Sultan Badlishah yang mangkat pada 29 November 2015 di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

 

SULTAN KEDAH

Pada tanggal 12 September 2017, Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin diisytiharkan sebagai Sultan Kedah ke-29. Perisytiharan dibuat mengikut Perkara 17 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah setelah kemangkatan kakanda baginda, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Anak Bukit pada 11 September 2017. Pengumuman perisytiharan Sultan Kedah yang baharu itu dibuat oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah di Balairung Seri, Istana Anak Bukit. Keputusan melantik baginda sebagai Kebawah DYMM Sultan Kedah yang baharu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja Negeri Kedah.

 

 ANUGERAH BINTANG DAN DARJAH KEBESARAN

1970 -

 

Dianugerahkan Bintang Cemerlang Negeri Kedah (BCK) daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.

1974 -

Menerima Anugerah Kepujian Perutusan Keberanian (KPK) daripada Kerajaan Persekutuan di atas perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia.

1982 -

Dianugerahkan Darjah Setia DiRaja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran “Dato” daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.

1982 -

Dianugerahkan Kerabat Bergelar TUNKU LAKSAMANA KEDAH daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.

1987 -

Dianugerahkan Darjah Seri Setia DiRaja Kedah (SSDK) yang membawa gelaran “Dato’ Seri” daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.

1996 -

Dianugerahkan Kerabat Bergelar TUNKU TEMENGGONG KEDAH daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.

2008 -

Dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (SHMS) daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.

2010 -

Dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran “Tan Sri” daripada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong.

2011 -

Dilantik sebagai Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah berikutan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong - 13 Disember 2011

2012 -

Dianugerahkan Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

2014 -

Mengambil alih jawatan selaku Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah selepas kemangkatan Almarhum YTM Dato’ Seri Utama Tunku Annuar Alhaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah – 21 Mei 2014

2015 -

Dimasyhurkan sebagai Pro Canselor 1 Kolej Universiti Insaniah (KUIN) – 7 Mac 2015

2016 -

Dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) oleh DYMM Tuanku Sultan Kelantan – 28 November 2016

Dimasyhurkan sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman – 15 Disember 2016

2017 -

Dianugerahkan Darjah Kerabat Kedah (D.K) oleh Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah – 15 Januari 2017

Diisytiharkan sebagai Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman pada 12 September 2017

Dianugerahkan Darjah Kerabat Yang Amat Di-Hormati (Al-Yunusi), D.K (Kelantan) oleh YMM Pemangku Raja Kelantan - 30 September 2017

 Dianugerahkan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Di-Hormati D.K I (Johor) oleh DYMM Tuanku Sultan Johor - 30 Oktober 2017

Dianugerahkan Darjah Kerabat DiRaja Yang Amat Dihormati Perak (D.K) oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan - 4 Disember 2017

2018 -

- Dianugerahkan Darjah Kerabat (DK) Yang Amat Dihormati oleh DYMM Sultan Selangor - 25 Januari 2018

 

PENGLIBATAN DALAM INSTITUSI,PERTUBUHAN, PERSATUAN DAN SYARIKAT

 

- Yang di-Pertua, Majlis Agama Negeri Kedah Darul Aman

- Presiden Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah Darul Aman

- Pro Canselor 1, Kolej Universiti Insaniah (KUIN)

- Penasihat II, Persatuan Bekas Pelajar-Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHOCA) - Penaung Pertubuhan Pembangunan Anak-Anak Yatim Bekas Perajurit Malaysia Daerah Kulim

- Penaung Pusat Pengajian Islam Darussilihin Bukit Tembaga, Kuala Nerang, Kedah Darul Aman

- Penasihat Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Malaysia (JAKPAW) Negeri Kedah Darul Aman

- Ahli Kehormat Persatuan Bekas Tentera Malaysia Bahagian Negeri Kedah Darul Aman

 

KEGIATAN / KEGEMARAN

 

Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin seorang yang mempunyai perwatakan yang mesra namun tegas di dalam membuat keputusan dan sangat mementingkan penampilan diri. Latihan dan pengalaman ketenteraan yang dilalui telah mewarnai watak dan keperibadian baginda yang sangat mementingkan masa. Berdasarkan kriteria tersebut, Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah dilantik sebagai Kolonel Kehormat di dalam Askar Wataniah Negeri Kedah (JAKPAW).

 

Pada tahun 2007, Baginda telah diberi penghormatan menjawat jawatan sebagai Bridgider Jeneral dan seterusnya menjadi Penasihat kepada Rejimen Askar Melayu DiRaja. Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin amat berminat dan bergiat aktif di dalam bidang sukan dan gemar beriadah seperti bermain golf. Baginda juga mengikut jejak Almarhum ayahanda baginda yang gemar memelihara haiwan. Baginda memelihara pelbagai spesies kucing yang dipelihara sendiri oleh baginda. Pada masa lapang Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin gemar bersiar-siar dan melancong bersama anakanda dan cucunda.

 SUMBER : Pejabat KDYMM Tuanku Sultan Kedah