A- A A+
 

sultanah

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTANAH MALIHA BINTI ALMARHUM TENGKU ARIFF
SULTANAH NEGERI KEDAH DARUL AMAN
 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha binti Almarhum Tengku Ariff, Sultanah Negeri Kedah Darul Aman diputerakan pada 13 April 1949 di Kota Bharu, Kelantan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah merupakan anakanda ketiga daripada tujuh adik-beradik hasil perkahwinan YTM Tengku Sri Jaya DiRaja Tengku Ariff bin Tengku Long Abdul Rahman dengan Cik Puan Rokiah Sulaiman.

 

Paduka Ayahanda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah merupakan anakanda saudara kepada Almarhum Sultan Yahya Petra, Sultan Negeri Kelantan Yang Ke-27. Semasa kecil Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah telah dibesarkan dalam perkarangan Istana dan Kerabat DiRaja dengan penuh kasih sayang dan adat istiadat.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah mendapat pendidikan awal di Sekolah Saint Marry, Sentul dan seterusnya Sekolah Rendah dan Menengah Assunta, Petaling Jaya. Ketika itu Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah berkhidmat di KLM, Syarikat Penerbangan Belanda.

 

Pada tahun 1960, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah sekeluarga berangkat pulang dan bersemayam di Kota Bharu, Kelantan kerana pada ketika itu Paduka Ayahanda telah diperkenankan untuk bertugas sebagai Juruiring kepada Almarhum Sultan Yahya Petra Sultan Negeri Kelantan.

 

Sekembalinya ke Kota Bharu, Kelantan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sultanah Zainab Kota Bharu. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah sangat aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di peringkat sekolah seperti sukan hoki dan mengambil bahagian dalam Persatuan Perbahasan di sekolah. Kepetahan bertutur di dalam Bahasa Inggeris memberi peluang kepada Kebawab Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah untuk mewakili sekolah dalam pertandingan debat. Selain itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah juga merupakan Ketua Kelas dan Pengawas Sekolah.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah dilamar oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin lbni Almarhum Sultan Badlishah di usia 17 tahun dan telah melangsungkan perkahwinan pada 26 November 1965 dengan penuh adat istiadat perkahwinan Melayu. Ketika itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan bertugas sebagai Pegawai Tentera di Kem Batalion 2 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Pengkalan Chepa, Kelantan.

 

Setelah berkahwin, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah telah berpindah mengikut Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan ke Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, ke Kem Tambun, Ipoh, Perak dan selepas itu ke Kem Kepala Batas, Alor Setar, Kedah.

 

Sebagai isteri kepada seorang perajurit dan Ketua Platun, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah turut melaksanakan tanggungjawab dengan membimbing dan menerajui isteri­ isteri perajurit yang lain dengan bergiat aktif di dalam aktiviti Badan Kebajikan Isteri-Isteri Angkatan Tentera.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah telah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah lbni Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah Darul Aman yang diputerakan pada 2 Mac 1967 dan Yang Teramat Mulia Dato' Tunku Shazuddin Ariff lbni Sultan Sallehuddin, Tunku Laksamana Kedah yang diputerakan pada 27 April 1970.

 

Pada tahun 1973, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah telah memulakan kerjaya dengan berkhidmat di sebuah syarikat perkapalan. Kemudian pada tahun 1975 sehingga tahun 1994, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah berkhidmat di Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS). Setelah menamatkan perkhidmatan di MAS, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah dilantik sebagai penasihat dan konsultan di dalam Syarikat lnbaz dan Seri Libana yang diterajui oleh paduka anakanda sehingga sekarang.

 

Walaupun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah seorang yang sangat fokus dan komited dalam bidang kerjaya, namun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah sentiasa memberi sokongan penuh kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dalam apa jua penglibatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah juga sangat mengambil berat akan pendidikan anakanda-anakanda sehingga kedua-duanya telah berjaya dalam pendidikan masing­ masing. Putera sulung, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafuddin Badlishah adalah lulusan Undang-Undang (LL.B), Brunei University, England pada tahun 1990 dan Inner Temple England pada tahun 1992. Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafuddin Badlishah telah mendirikan rumah tangga dengan Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff, Raja Puan Muda Kedah Darul Aman dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda juga berkelulusan dalam bidang Perundangan (LLB) dari Cardiff Law School, Londan pada tahun 1993, dan LLM (Commercial Law) dari University of Bristol, London pada tabun 1994. Manakala anakanda kedua, Yang Teramat Mulia Dato' Tunku Shazuddin Ariff, adalah kelulusan Bachelor of Arts daripada Kansas Wesleyan University, USA. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah sangat rapat dengan anakanda-anakanda dan cucunda-cucunda. Selain itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah juga amat mengambil berat terhadap pengurusan dan penjagaan akan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

 

Antara hobi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah ialah memelihara kucing. Sifat keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah terhadap haiwan amat terserlah kerana semua kucing peliharaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah adalah kucing yang tidak bertuan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah sendiri yang akan menjaga dan memelihara kucing-kucing tersebut.

 

Selain arif dalam. kerja-kerja menjahit, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah juga pandai memasak, khasnya masakan Pantai Timur.Di samping itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah juga sukakan alam semulajadi yang bersih, segar dan nyaman. Hal ini diterjemahkan melalui seni taman dan lanskap di sekeliling kediaman Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah.

 

Selain itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah juga gemar melancong ke luar negara bagi melihat keindahan serta kehidupan masyarakat antarabangsa. Kebawah Duli Yang Maha Mulia sekeluarga telah menjelajah ke negara-negara luar seperti benua Eropah, Amerika, Asia dan Australia. Pengalaman yang diperolehi telah meluaskan pandangan Kebawah Dull Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah dalam pelbagai perkara terutama yang berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar serta bangunan dan artifak bersejarah.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah amat prihatin kepada pendidikan rakyat di Negeri Kedah terutama dalam pendidikan Bahasa Inggeris. Atas keperihatinan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah telah perkenan untuk dilantik sebagai Penaung kepada program Computer And English Literacy (COMEL), yang merupakan satu program pembelajaran dan pengajaran dalam Bahasa Inggeris untuk para pelajar di peringkat sekolah rendah bagi memberi pendedahan awal kepada mereka dalam menguasai Bahasa Inggeris. Program ini adalah usahasama yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kedah bersama Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Di atas sumbangan dan jasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah kepada Negeri Kedah Darul Aman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah telah dikurniakan Darjah Kebesaran seperti berikut :-

 

  • Tahun 2001 - Darjah Dato' Seri DiRaja Kedah (D.S.D.K.)
  • Tahun 2011 - Darjah Seri Setia DiRaja Kedah Yang Amat Dihormati (S.S.D.K.)
  • Tahun 2017 - Darjah Seri Setia Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Yang Amat Dihormati (S.H.M.S.)
  • Tahun 2018 - Darjah Kerabat Kedah (D.K.)

 SUMBER : Pejabat KDYMM Tuanku Sultan Kedah