A- A A+
Malay Arabic Chinese (Simplified) English Hindi

Lemang Periuk Kera

13lemang

KULIM 13 Februari - Pada hari raya Aidilfitri tahun lalu, Norra Abdul Hamid mengunjungi rumah rakannya, Mimi Mahmud di Batu Kurau, Perak dan dia dihidangkan sejenis makanan yang agak unik.

Sebaik sahaja menjamah lemang yang dimasak di dalam Periuk Kera itu, dia tertarik dengan rasanya dan mencadangkan agar Mimi mengkomersialkan maka­nan itu.

Bermula detik itu juga, dia mula mempromosikan lemang itu kepada rakan-rakannya yang juga tertarik dengan keenakan rasa lemang yang dimasukkan di dalam periuk tumbuhan maging ini atau nama saintifiknya Nepenthes gracilis.

“Selepas merasai sendiri lemang itu, hati saya tertarik dan mencadangkan agar Mimi menjual makanan itu di sekitar kawasan perumahan kami di Kulim sebagai pendapatan sampingan.

“Bermula sebagai pelanggan, kini saya turut membantu Mimi mengedarkan lemang Periuk Kera di sekitar Taiping dan Ipoh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Lemang Periuk Kera bukanlah asing bagi penduduk di Pantai Timur atau Melaka namun agak jarang ditemukan di sekitar wilayah utara seperti Pulau Pinang dan Kedah.

Lemang ini tidak dimasak di dalam buluh dan dibakar seperti lemang biasa, tetapi pulutnya dimasukkan ke dalam tumbuhan itu sebelum dikukus selama setengah jam.

Menurut Mimi, 43, dia menjalankan perusahaan itu sebagai kerja sambilan ketika hari cuti namun sambutan yang diterima amat menggalakkan saban minggu.

Jelasnya, setiap minggu dia mendapatkan bekalan kira-kira 1,000 hingga 1,500 Periuk Kera yang dihantar dari Pahang oleh pembekal tetapnya di sana.

“Sebenarnya lemang ini di bawah nama Lemang Periuk Kera 4 Beradik kerana ia turut diusahakan tiga kakak saya, Hasiah, 54, di Cameron Highlands; Azizah, 48, di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur dan Azimah, 46, di Kajang, Selangor.

“Sekarang kami juga memiliki ejen di Manjung, Perak dan Du­ngun, Terengganu yang membantu memasarkan makanan unik ini di tempat masing-masing,” ujarnya.

Ditanya proses menyediakan hidangan itu, Mimi berkata, sebaik sahaja Periuk Kera tiba dari Pahang, ia akan dibersihkan bagi membuang kotoran di dalam tum­buhan itu sebelum disimpan di dalam bekas.

Ketika ingin digunakan, beras pulut yang sudah direndam akan dimasukkan dengan berhati-hati sebelum dicampur santan, garam serta sedikit gula dan dikukus.

“Selepas masak, lemang itu dibiarkan sejuk sebelum dibungkus mengikut pesanan pelanggan dan saya jual mengikut pakej RM30 dan RM35 bersama rendang ayam atau daging.

“Selain dihantar menggunakan khidmat penghantaran sehingga ke Parit Buntar, Pulau Pinang dan Per­lis, saya juga menjual kepada pe­langgan yang membuat tempahan di sekitar Kulim,” katanya.

Terbaharu Mimi turut memperkenalkan menu baharu iaitu nasi lemak Periuk Kera yang disediakan dengan lauk sambal ikan bilis, telur rebus dan daging go­reng kunyit yang dijual pada harga RM10 untuk set dua orang.

Sementara itu, Azizah yang bertugas sebagai guru di Kuala Lumpur berkata, dia menjalankan perusahaan membuat lemang Periuk Kera bagi mengisi masa terluang.

Menurutnya, sebelum ini, dia begitu aktif dalam sukan tenpin boling malah pernah menjadi Pengerusi Teknik dan Pemba­ngunan Sukan Tenpin Boling Majlis Sukan Wilayah Perseku­tuan Kuala Lumpur namun kea­daan kesihatan membataskan pergerakannya.

“Selepas menjalani tiga kali pembedahan dalam tempoh 12 tahun, saya kini tidak lagi mampu aktif dalam sukan boling jadi ba­nyak masa terluang dan diisi de­ngan menjalankan perniagaan lemang dan nasi lemak Periuk Kera.

“Dibantu suami dan anak serta menantu, saya menyediakan juadah itu di rumah sebelum diedarkan di sekitar TTDI, Bandar Utama dan Petaling Jaya,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan Lemang Periuk Kera 4 Beradik, boleh layari laman Facebook Mimi Mahmud atau hubunginya di talian 019-5672774.

Untuk mereka yang berada di Lembah Klang, boleh hubungi Azizah di talian 017-6940021; Azimah (012-2849738); atau Hasiah di Cameron Highlands di talian 019-5473079.

Oleh : Azeli Ali

Sumber : Utusan

HUBUNGI

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Aras 4, Blok B, Wisma Darul Aman, 05503 Alor Setar, Kedah Darul Aman.
Tel: 04-774 4000 | Fax: 04-774 4166
Email: portalkedah[at]kedah[dot]gov[dot]my
korporatsuk[at]kedah[dot]gov[dot]my
Peta Lokasi

Aplikasi KedahApps adalah saluran terbaik bagi rakyat untuk mengetahui berkenaan perkhidmatan awam negeri
  • Votes: 0%
  • Votes: 0%
Total Votes:
First Vote:
Last Vote:
 
Powered by Sexy Polling
 

PAUTAN

mygoverment-png 1malaysia-png HRMIS msc
MAMPU JPA Puatan  
PENGIKTIRAFAN
ISO