PERTIMBANG MUHAMMAD AZNIL SEBAGAI IKON KEMERDEKAAN KEDAH

Wira Negara Muhammad Aznil Bidin yang merupakan pemenang pingat emas (rekod baharu) angkat berat Sukan Komanwel 2022 ketika tiba di Lapangan Terbang Kepala Batas, pada Ahad. – Foto Bernama

ALOR SETAR (7 OGOS 2022) : Kerajaan Kedah akan mempertimbangkan untuk menobatkan atlet angkat berat kelahiran negeri itu, Muhamad Aznil Bidin sebagai Ikon Kemerdekaan Kedah sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wan Romani Wan Salin berkata ia sebagai menghargai pencapaian Muhamad Aznil memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini.

“Bukan mudah sebenarnya untuk angkat berat tetapi anak muda berusia 28 tahun ini berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia. Ini juga sebagai hadiah istimewa buat negara dan negeri Kedah sempena bulan kebangsaan ini.

“Inilah ikon pemuda yang patut dijadikan contoh buat generasi muda sekarang, ambil peluang untuk lakar kejayaan supaya nama negara dapat dikenali seluruh dunia,” katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Sebelum itu, Wan Romani menyampaikan cenderahati dan sumbangan peribadi kepada Muhamad Aznil di rumah ibu bapanya di Kampung Baru, Bukit Pinang dekat Pokok Sena.

Sementara itu, Muhamad Aznil berkata, beliau sangat terharu dengan sambutan diberikan oleh semua pihak yang menghargai pengorbanannya dalam mengharumkan nama negara di Sukan Komanwel.

Pada 30 Julai lepas, Muhamad Aznil memastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah di Pusat Pameran Nasional, Birmingham apabila meraih emas selepas melakukan angkatan bebanan keseluruhan 285 kilogram sekali gus mencatat rekod baharu temasya. – Bernama

Sumber : Sinar Harian

MalayEnglishArabicChinese (Simplified)