IMUNITI KANAK-KANAK MENURUN, ANTARA PUNCA KES HFMD MENINGKAT

KHAIRY Jamaluddin ketika sidang media pada majlis penyerahan sumbangan peralatan perubatan daripada kerajaan Jepun melalui Geran Jepun untuk program pembangunan ekonomi dan sosial 2020 untuk Malaysia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. FOTO Luqman Hakim Zubir

ALOR SETAR (9 JUN 2022) : Penurunan tahap imuniti dalam kalangan kanak-kanak dilihat menjadi antara punca kadar jangkitan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara meningkat ketika ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, akibat pandemik Covid-19 yang melanda, selama dua tahun pergerakan kanak-kanak adalah terbatas menyebabkan mereka boleh dianggap sebagai naif kepada penyakit seperti Coxsackie, Entrerovirus serta HFMD.

Bagaimanapun jelasnya, gelombang kes HFMD yang memuncak dijangka akan kembali menurun sebelum hujung bulan ini berikutan tahap imuniti kanak-kanak didapati kembali meningkat.

“Kita anggap HFMD ini penyakit yang berlaku di dalam negara sahaja kerana membabitkan di beberapa tempat sahaja, kita jangka gelombang HFMD akan mula turun dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

“Biasanya HFMD ini bermusim, ia akan jadi gelombang tidak sampai sebulan dan kemudian akan turun dengan sendiri. Apabila ramai kanak-kanak terdedah kepada virus tersebut, maka tahap imuniti mereka akan naik dan kes menurun,” katanya pada sidang media di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis penyerahan Sumbangan Peralatan Perubatan Daripada Kerajaan Jepun Melalui Bantuan Geran Program Pembangunan Ekonomi dan Sosial 2020 Kepada Malaysia.

Hadir sama Duta Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Zamzuri Abdul Aziz dan Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan memaklumkan setakat Sabtu lalu sebanyak 82,846 kes HFMD dilaporkan berlaku di seluruh negara, iaitu peningkatan sehingga 32 kali ganda berbanding tempoh sama pada 2021 yang hanya mencatatkan 2,485 kes.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, kebanyakan kes HFMD juga tidak dianggap serius dan kanak-kanak didapati dapat kembali sihat, namun ibu bapa dinasihat segera memberi rawatan sekiranya mendapati anak mereka mempunyai gejala.

“Tahun ini kes HFMD naik mendadak kemungkinan kerana banyak tadika dan taska kembali dibuka. Kanak-kanak kita pula dua tahun tidak keluar dan tidak terdedah kepada virus maka tahap imuniti mereka menurun sehingga kes agak tinggi.

“Tapi kebanyakan kes ini tidak serius, kita minta ibu bapa jaga kebersihan dan jika anak-anak ada gejala jangan hantar mereka ke taska atau tadika untuk elak penyebaran,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan berlaku kekurangan ubatan di negara ini, beliau memaklumkan isu itu hanya timbul di pusat rawatan swasta dengan kemudahan kesihatan milik kerajaan masih mempunyai bekalan mencukupi untuk pesakit.

Katanya, kementeriannya sudah meminta syarikat farmasi menyemak jenis ubatan yang tidak mencukupi dan sekiranya ada keperluan, ubatan berkenaan akan segera diimport bagi menampung masalah kekurangan bekalan.

“Keadaan ini tidak boleh dikatakan berlaku di seluruh negara kerana hanya terjadi di beberapa tempat dan membabitkan jenis ubatan tertentu sahaja, kita sedang kerjasama bersama syarikat farmasi untuk dapatkan ubatan jenis lain yang sesuai.

“Saya jamin bekalan ubatan di Malaysia adalah mencukupi, cuma kita perlu tahu secara tepat di mana berlaku kekurangan ubat sahaja,” katanya.

Sumber : Harian Metro