BALAI POLIS KULIM HI-TECH PERKENAL APLIKASI CSI

KAMARUDIN Md Ali (tengah) merasmikan aplikasi platform berkaitan kepuasan pelanggan pada program lawatan Pasukan Panel Anugerah Balai Polis Cemerlang MCPF 2022. FOTO Izad Thaqif Hassan

KULIM (5 OKTOBER 2022) : Balai Polis Kulim Hi-Tech di sini, memperkenalkan aplikasi platform berkaitan kepuasan pelanggan (Customer Survey Indicator) bagi memudahkan orang ramai memberi maklum balas secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, aplikasi yang dibangunkan warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim itu diharap dapat memberi impak dalam mempertingkatkan perkhidmatan terutama buat orang ramai.

“Aplikasi ini dibuat tanpa sebarang kos dan ia sudah dipraktik sejak dua bulan lalu bagi memudahkan orang ramai memberi maklum balas secara dalam talian sekali gus dapat memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

“Dengan cara ini, ia juga dilihat dapat memberikan latihan dalam perkhidmatan kepada anggota dan pegawai yang bertepatan dengan kaji selidik terbabit,” katanya ketika ditemui pada program lawatan Pasukan Panel Anugerah Balai Polis Cemerlang Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) 2022 di Balai Polis Kulim Hi-Tech di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Program Balai Polis Cemerlang MCPF Datuk Kamarudin Md Ali, Ketua Panel Anugerah Balai Polis Cemerlang MCPF Chan Kuang Yu dan ahli panel serta ketua komuniti sekitar Kulim Hi-Tech Park.

Balai Polis Kulim Hi-Tech terpilih mewakili kontinjen Kedah untuk Pertandingan Anugerah Balai Polis Cemerlang Kategori Bandar yang mana juri penilai adalah terdiri daripada ahli Exco MCPF.

Sumber : Harian Metro