BANJIR KILAT DI BALING SURUT, 154 MANGSA DIBENAR PULANG

Anggota APM Kota Setar melakukan pemantauan di kawasan Kampung Alor Gunong yang mula dinaiki air akibat banjir kilat selepas berikutan paras air Sungai Anak Bukit yang semakin meningkat. FOTO IHSAN APM

ALOR SETAR (10 OKTOBER 2022) : Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks Rakan Muda, Baling ditutup sepenuhnya jam 1 petang hari ini sekali gus semua 154 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua mangsa banjir berkenaan dibenarkan pulang selepas air surut sepenuhnya hari ini.

Beliau berkata, PPS itu dibuka semalam yang menempatkan seramai 154 mangsa daripada 49 keluarga dari Kampung Carok Sikin, Paya dan Tanjung Merbau selepas rumah mereka dinaiki air.

Dalam pada itu, Muhammad Suhaimi berkata, setakat ini pemantauan masih dilakukan anggota APM di kawasan berisiko banjir terutama di kawasan berhampiran sungai di negeri ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azhar Ahmad berkata, banjir kilat yang melanda 43 rumah di tiga mukim yang membabitkan 173 mangsa di daerah itu sudah surut sepenuhnya hari ini.

Beliau berkata, antara mukim terbabit adalah Mukim Sungai Petani yang membabitkan Kampung Mendidih (dua rumah, 10 mangsa), Kampung Bukit Belah (9 rumah, 29 mangsa), Kampung Haji Wahab (8 rumah, 25 mangsa).

“Mukim Gurun pula membabitkan Kampung Sungai Bongkok iaitu 20 rumah (95 mangsa) manakala Mukim Sidam Kiri iaitu Kampung Jerung membabitkan empat rumah dari 20 keluarga.

“Tiada PPS dibuka di kawasan yang terjejas dan banjir berlaku akibat hujan melebihi satu jam di daerah Kuala Muda namun anggota kami dalam keadaan bersiap sedia sekiranya banjir berlaku di kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, paras air di Intake Empangan Beris di Sik menunjukkan peningkatan paras air iaitu 84.1 meter melebihi paras waspada 84 meter pada jam 11.30 pagi hari ini

Sumber : Harian Metro