SUNGAI GURUN DI YAN MELEPASI PARAS BAHAYA, BEBERAPA SUNGAI TREND MENAIK

Anggota APM Yan melakukan pemantauan di kawasan sungai di daerah itu yang dinaiki air berikutan hujan lebat sejak semalam. FOTO IHSAN APM

YAN (16 OKTOBER 2022) : Sungai Gurun di Kampung Perupok di sini, mencatatkan tahap bacaan 3.69 meter melepasi paras bahaya pada jam 8 pagi hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, setakat ini, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Yan sedang melakukan pemantauan di beberapa sungai di daerah itu termasuk di Kampung Perupok, Sungai Malai di Mukim Yan dan Kampung Singkir.

Beliau berkata, hujan lebat sejak semalam menyebabkan bacaan paras air sungai semakin meningkat.

“Pemantauan sedang dilakukan anggota APM Yan di sekitar kawasan tumpuan paras air naik dan ketika ini hujan masih renyai.

“Setakat ini paras air Sungai Singkir di Kampung Singkir Genting pula masih di paras normal iaitu 4.51 meter.

“Walaupun paras air di sungai terbabit masih terkawal namun, pihak APM masih melakukan pemantauan ketika ini dan dalam keadaan bersiap sedia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Zul Izzi berkata, setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini dan keadaan cuaca masih dalam keadaan hujan renyai.

Sementara itu, laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, paras bacaan air Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR pada 1.49 meter dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya (1.55 meter) di daerah Kota Setar manakala Sungai Chepir di Kampung Ulu Jerai Namek, Sik (43.65 meter) sudah melepasi tahap waspada.

“Sungai di kawasan lain iaitu Sungai Bata di Kampung Bata (6.88 meter) dan Sungai Sintok di UUM, Sintok (42.15 meter) di daerah Kubang Pasu dan Sungai Padang Terap di Kuala Nerang (12.28 meter), Sungai Melaka di Bukit Kemboja di Langkawi (6.2 meter) dan Sungai Melaka di Padang Mat Sirat, Langkawi (2.66 meter) masih paras normal tetapi menunjukkan trend menaik.

Sumber : Harian Metro