UUM KEDUA TERBAIK NEGARA, 70 TERBAIK ASIA

Kedudukan UUM dalam ranking dunia turut meningkat berbanding edisi lalu apabila berada dalam kelompok 500 universiti terbaik dunia. Gambar kecil: Haim Hilman

ALOR SETAR (13 OKTOBER 2022) : Universiti Utara Malaysia (UUM) muncul kedua terbaik dalam kalangan universiti awam dan swasta di Malaysia serta di kedudukan 70 universiti terbaik Asia melalui ranking Times Higher Education World University Rankings (THEWUR) 2023 yang diumumkan pada Rabu.

Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, dengan lonjakan sebanyak 200 anak tangga, universiti tersebut kini setara dengan University of Denver di Amerika Syarikat, Brunel University di United Kingdom, Victoria University of Wellington di New Zealand dan Murdoch University di Australia yang sama-sama berada di tangga 401-500 dunia.

Menurutnya, peningkatan dalam kategori impak sitasi dilihat ketara di samping penyelidikan dan penampakan pengantarabangsaan berbanding tahun lalu menunjukkan segala strategi yang dilaksanakan melalui Pelan Strategik UUM membuahkan hasil memberangsangkan.

“Kategori penampakan pengantarabangsaan meningkat daripada 315 ke 274 berpunca daripada peningkatan jumlah pelajar dan staf antarabangsa serta aktiviti antarabangsa yang terus melonjak.

“Universiti ini juga membuktikan impak sitasi akademik turut meningkat daripada 883 kepada 660 sekali gus menunjukkan mutu penerbitan, pengajaran dan pembelajaran mencapai tahap yang membanggakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, kedudukan UUM dalam ranking dunia turut meningkat berbanding edisi lalu apabila berada dalam kelompok 500 universiti terbaik dunia.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga universiti atas usaha keras membantu dalam semua perkara sehingga universiti dapat meningkatkan ranking di peringkat antarabangsa.

“Usaha ini adalah hasil kerjasama semua peringkat warga universiti yang menyumbang tenaga dan idea sehingga kita berjaya mencapai penarafan antarabangsa terbaik setakat ini,” tambah Haim Hilman.

Menurut beliau lagi, THE World University Rankings merupakan penarafan universiti yang berasaskan penyelidikan dan peningkatan dalam kategori ini di samping sitasi menunjukkan UUM juga setara dengan universiti penyelidikan yang lain.

“Pencapaian yang menggembirakan ini merupakan usaha bersama semua warga universiti tanpa mengira peringkat dan sekali gus membuktikan kemampuan kita semua bahawa walaupun UUM merupakan universiti komprehensif dengan fokus kepada pengurusan namun ia bukanlah penghalang untuk memperoleh kejayaan lebih besar,” ujar beliau yang berharap semua pihak dapat terus memberikan komitmen yang tinggi.

Bagi edisi terbaharu ini, THE World University Rankings menyenaraikan 1,779 universiti dari 104 buah negara yang merupakan penyenaraian terbesar sejak dilancarkan.

Sumber : Sinar Harian