43 MANGSA BANJIR DI LANGKAWI HUNI PPS

Gambar hiasan.

LANGKAWI (17 OKTOBER 2022) : Seramai 43 mangsa daripada 11 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Syifa, Padang Matsirat di sini, malam tadi, selepas rumah mereka dinaiki air.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, semua mangsa dari Kampung Limbung Putra, Kampung Buluh Penyumpit dan Kampung Atas.

“Terdapat sebuah rumah di Kampung Buluh Penyumpit, Kuah terjejas akibat tanah runtuh.

“Bagaimanapun kawasan lain yang dinaiki air akibat hujan lebat semalam, sudah surut menjelang lewat petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shariman berkata, notis penutupan jalan ke Gunung Raya dikeluarkan selepas berlaku empat runtuhan tanah dan menghalang lalu lintas.

Katanya, pihak berkuasa akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.

Sumber : Harian Metro