43 MANGSA BANJIR MASIH DI PPS DI PADANG MAT SIRAT

Sebahagian 43 mangsa banjir masih di PPS Dewan Syifa di Padang Matsirat, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN

LANGKAWI (18 OKTOBER 2022) : Seramai 43 mangsa banjir dari tiga kampung di sini, kelmarin, masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Syifa di Padang Matsirat di sini, sehingga 9 pagi ini.

Mangsa adalah daripada 11 keluarga membabitkan 25 lelaki dan 18 wanita yang dipindahkan ke pusat itu selepas ia diaktifkan mulai 8 malam kelmarin.

Kampung yang terjejas termasuk Kampung Atas dan Limbung Putra dalam Mukim Padang Matsirat serta Kampung Buluh Penyumpit bagi Mukim Kuah.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Ahmad Shahfikri Darus berkata, daripada jumlah itu, 10 keluarga dari Mukim Padang Matsirat, manakala satu keluarga dari Mukim Kuah.

“Cuaca semakin baik, tapi mangsa akan terus kekal di PPS ini sehingga keadaan cuaca kembali pulih dan kerja-kerja pembersihan rumah mereka selesai.

“Soal kebajikan termasuk makan minum dan kesihatan dijaga dengan baik dalam tempoh mereka berada di penempatan disediakan,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Langkawi juga sudah melakukan ujian saringan kesihatan termasuk Covid-19 bagi memastikan tahap kesihatan mangsa dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah, semua mangsa yang mendaftar masuk ke PPS ini bebas dari jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) masih dibuka untuk menerima panggilan dan merekodkan data diterima daripada mangsa.

Sumber : Harian Metro