DUA DAERAH DI KEDAH DILANDA BANJIR KILAT

ANGGOTA APM Kubang Pasu melakukan operasi menyelamat mangsa banjir di sekitar tiga kampung di Mukim Binjai yang dinaiki air. FOTO ihsan APM

ALOR SETAR (27 OKTOBER 2022) : Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri ini iaitu satu di Kubang Pasu dan dua di daerah Padang Terap berikutan banjir kilat akibat hujan lebat, sejak semalam.

Tiga PPS itu menempatkan seramai 164 mangsa daripada 50 keluarga di dua daerah berkenaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, satu PPS di daerah itu dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai pada 10.30 malam yang menempatkan 88 mangsa daripada 27 keluarga.

Beliau berkata, jumlah itu dilaporkan setakat 3 pagi tadi.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Roshidi Kassim berkata, dua PPS yang dibuka di daerah itu adalah di SK Perik dan SK Tualak yang beroperasi sejak 11.46 malam tadi.

Beliau berkata, PPS Perik menempatkan 33 mangsa daripada lapan keluarga, manakala PPS SK Tualak menempatkan 43 mangsa daripada 15 keluarga.

“Paras air meningkat susulan hujan lebat hampir lima jam bermula 5.30 petang hingga 10 malam tadi menyebabkan paras air mencecah 0.5 meter (m) hingga satu m yang memasuki kediaman penduduk.

“Keadaan itu mengundang bahaya kepada penduduk menyebabkan dua PPS dibuka malam tadi.

“Setakat ini, paras air Sungai Janing menunjukkan paras melebihi tahap amaran, manakala sungai lain dalam keadaan normal, namun penduduk yang tinggal berhampiran sungai perlu lebih berhati-hati dan bersiap sedia untuk berpindah sekiranya paras air terus meningkat.,” katanya.

Sumber : Harian Metro