BANJIR DI KEDAH KIAN PULIH

MANGSA banjir yang ditempatkan di PPS SK Suka Menanti. FOTO Ihsan APM

ALOR SETAR (31 OKTOBER 2022) : Jumlah mangsa banjir di Kedah yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) terus berkurangan kepada 95 mangsa daripada 32 keluarga.

Jumlah itu dilaporkan setakat 8 pagi hari ini berbanding 104 mangsa daripada 36 keluarga yang dilaporkan semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua mangsa masih ditempatkan di PPS Suka Menanti di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu.

Beliau berkata, jumlah mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Suka Menanti masih ramai iaitu 75 mangsa daripada 32 keluarga.

“Bagaimanapun mangsa yang ditempatkan di PPS SK Binjai di daerah Kubang Pasu sudah berkurangan kepada 20 mangsa daripada 7 keluarga selepas sebahagian besar mangsa pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Suhaimi berkata, anggota APM di negeri ini akan terus melakukan pemantauan di kawasan sungai yang berisiko dinaiki air.

Sumber : Harian Metro