LATA SUNGAI SEDIM BERISIKO BANJIR ALIRAN PUING

SUNGAI Sedim, Kulim, Kedah. FOTO Ihsan CAP

ALOR SETAR (1 NOVEMBER 2022) : Lata Arus Deras Sungai Sedim di daerah Kulim dikenal pasti sebagai antara lokasi yang berisiko berlakunya banjir aliran puing seperti yang berlaku di Kampung Iboi, Baling dan Gunung Jerai, Yan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kerajaan negeri memberi pemerhatian di kawasan berkenaan dengan perubahan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Katanya, kawasan itu didapati perlu dipasang sistem amaran awal bagi mengelak risiko berlakunya kemalangan jiwa dan kerosakan harta penduduk berdekatan.

“Ada beberapa lokasi perlu dibuat pemerhatian di Sungai Sedim ini kerana ia melalui kampung penduduk dan berpotensi untuk berlakunya bencana banjir aliran puing.

“Tolok hujan yang terdapat di kawasan ini berada di bawah bukit dan bukannya di tanah tinggi menyebabkan bacaan hujan yang tepat sukar dianggarkan samada ia berisiko berlakunya banjir atau tidak.

“Ada lagi kawasan berisiko iaitu Lata Bukit Hijau di Baling tapi tidak terlalu hampir dengan kawasan penduduk dan kebanyakkan kawasan itu berada dalam kawasan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) berbanding Lata Arus Deras Sungai Sedim,”katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Bebas-Alor Mengkudu) mengenai adakah kerajaan negeri mengenal pasti kawasan lainyang perlu diberi perhatian dan perlu dipasang sistem pemasangan sistem amaran awal banjir.

Sementara itu, Muhammad Sanusi sekali lagi menegaskan bahawa persepsi bahawa ladang durian Musang King diGunung Inas, Baling menjadi punca bencana banjir puing memberi imej buruk kepada kerajaan negeri.

Katanya, tidak ada sebarang kajian yang dilakukan mengaitkan insiden bencana itu dengan ladang durian berkenaan.

“Kita menerusi Pejabat Daerah Baling mengadakan taklimat berdasarkan fakta dan data saintifik mengenai kejadian banjir puing kepada penduduk yang terbabit dengan bencana itu di Kampung Iboi pada 27 Oktober lalu.

“Taklimat itu disampaikan Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo yang mengetuai kajian oleh Jawatankuasa Khas, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

“Tidak ada sebarang kajian yang menunjukkan banjir aliran puing di Baling itu adalah berpunca tanaman Musang King… Saya harap perkara (taklimat) ini dapat memahamkan penduduk bahawa sebaran sebelum ini tentang (projek) musang king dan lain-lain adalah usaha untuk memesongkan fakta dan hakikat sebenar kejadian,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Abd Nasir Idris (PAS-Bayu) mengenai usaha berterusan kerajaan negeri memberi penjelasan tentang persepsi salah punca banjir puing di Kampung Iboi, Baling.

Selain itu, katanya kerja-kerja mengorek pasir bagi mendalamkanSungai Kupang di Kampung Iboi sedang giat dijalankan oleh kontraktor yang dilantik.

Katanya, kawasan itu bukan lah menjadi kuari tapi sebaliknya hanya usaha mendalamkan sungai berkenaan seperti sedia kala dengan kedalaman kira-kira lima meter sebelum ini.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga sedang menjalankan kajian geofizik di Sekolah Kebangsaan Iboi bagi mengenal pasti potensi sumber air bawah tanah.

“Cadangan adalah membina telaga tiub air bawah tanah sekiranya berpotensi sebagai sumber air alternatif yang boleh dimanfaatkan oleh sebahagian penduduk Kampung Iboi yang mengalami gangguan bekalan air bersih selepas bencana geologi aliran puing pada Julai lalu,” katanya.

Sumber : Harian Metro