RISDA SASAR TAMBAH 2,500 HEKTAR TANAM SEMULA GETAH DI KEDAH

Mahdzir (tengah) bergambar selepas Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Daerah Padang Terap di Kampung Baru Padang Sanai, Kuala Nerang pada Selasa

PADANG TERAP (8 NOVEMBER 2022) : Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan menambah keluasan tanam semula getah di Kedah sehingga 2,500 hektar bagi tahun 2022.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, lebih 1,551 hektar tanam semula komoditi itu telah dilaksanakan di Kedah setakat ini.

“Di kawasan Mukim Batang Tunggang Kiri sahaja, 88.27 hektar telah dimajukan setakat ini dengan penglibatan 63 pekebun kecil dengan nilai bantuan lebih RM135,000,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Daerah Padang Terap di Kampung Baru Padang Sanai, Kuala Nerang.

Jelas Mahdzir, selain program tanam semula getah, RISDA turut menyediakan Program Skim Getah Matang (SGM) meliputi inisiatif Peningkatan Produktiviti Getah (PPG) dan Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) bagi membantu peningkatan produktiviti pokok getah matang.

“Bagi insiatif PPG, di mukim ini sebanyak RM32,477 disalurkan bagi manfaat 12 orang pekebun kecil dengan jumlah keluasan kebun 17.8 hektar.

“Inisiatif SIPG pula, 85 pekebun kecil telah menerima manfaat yang melibatkan peruntukan sebanyak RM36,468 dengan jumlah keluasan kebun 110.47 hektar,” ujarnya..

Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan antara bantuan-bantuan istimewa yang disediakan oleh KPLB melalui RISDA untuk kesejahteraan dan kemakmuran pekebun kecil getah walaupun mereka telah menerima bantuan program tanam semula getah.

“Matlamat utama program-program sokongan itu adalah bagi memastikan produktiviti kebun getah matang pekebun kecil dapat ditingkatkan kepada 1,800 kilogram sehektar setahun.

“Ia juga bagi memastikan sasaran pendapatan purata pekebun kecil mencapai RM4,500 sebulan sekeluarga menjelang tahun 2025 melalui rantaian bantuan dan inisiatif yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui RISDA,” jelas beliau.

Sumber : Sinar Harian