CIKGU NON TERIMA ANUGERAH TOKOH GURU NEGERI KEDAH

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyampaikan replika cek bernilai RM10,000 kepada Zainol Abidin.

ALOR SETAR (9 NOVEMBER 2022) : Keperibadian dan ketokohan guru Matematik, Zainol Abidin Mohamad, 63, melayakkan beliau menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah 2022 pada sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah 2022, pada Selasa.

Anak jati kelahiran Changlun itu menerima replika cek bernilai RM10,000 bersama sijil dan piala yang disampaikan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Zainol Abidin yang juga Tokoh Guru Daerah Kubang Pasu 2022 berkata, dia tidak menyangka akan terpilih menerima anugerah berprestij terbabit memandangkan percalonan dari daerah lain juga tidak kurang hebatnya.

“Alhamdulillah mungkin sudah tertulis rezeki saya di sini dan insya-ALLAH anugerah ini menguatkan semangat saya untuk terus berbakti kepada anak bangsa kita,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata ini, walaupun bersara sejak tahun 2007 namun dia masih lagi aktif mengajar dan terlibat dalam sebarang aktiviti di sekolah.

“Saya masih turun ke sekolah-sekolah yang bermasalah dalam mata pelajaran Matematik atau Matematik Tambahan untuk berikan ceramah teknik menjawab peperiksaan,” katanya.

Zainol Abidin yang mesra disapa Cikgu Non berkata, guru bukan hanya individu yang berbakti di sekolah sahaja, tetapi untuk semua lapisan masyarakat.

“Akronim GURU itu sendiri membawa maksud ‘Guna Untuk Rakyat Umum’, jadi walaupun dah bersara kita masih boleh mengajar,” katanya.

Zainol Abidin yang juga mengusahakan pusat tuisyen sendiri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan semua yang terlibat dalam proses pemilihan ini.

“Tidak lupa juga kepada ahli keluarga yang banyak berkorban dan memberi sokongan kepada saya selama ini,” katanya.

BIODATA

Nama Penuh: Zainol Abidin Mohamad

Asal: Pekan Lama Changlun

Isteri: Mumtaj Hassan (59 tahun)

Anak-anak:

1.Rusyidah (32 tahun)

2.Mohd Alias (31 tahun)

3.Mohd Hanif (26 tahun)

4.Mohd Rafiq (24 tahun)

Akademik:

1.Sekolah Rendah Sultan Ahmad Tajuddin

2.Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra.

3. Universiti Pendidikan Sultan Idris (Diploma in Matematik)

4.Universiti Utara Malaysia (BBA HONS)

Pengalaman Kerja:

Guru di SMK Changlun (1980-2007)

Penglibatan dalam NGO:

1.YDP PIBG Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara ( 2007 – kini)

2.YDP SMK Changlun (2011 – kini)

3.YDP SMK Jitra ( 2012 – kini)

4 YDP PIBG/PIBKS Daerah Kubang Pasu (2018- kini)

5.YDP PIBKS Negeri Kedah 2021 -kini)

6.Focal Person Kebangsan KPM ( 2020 – kini)

7.Ahli Majlis Eksekutif Persatuan Alumni UUM ( 2022- kini)

Anugerah:

1.Ikon PIBK/PIBG Daerah Kubang Pasu

2.Tokoh YDP Cemerlang Peringkat Negeri Kedah 2022

3. Tokoh Guru Daerah Kubang Pasu 2022.

Sumber : Sinar Harian