PENDUDUK TITI HAYUN BINA HIDUP

SYAZWAN Anas menunjukkan chalet di Salak Denai yang dibangun semula menggunakan wang pemberian kerajaan sejurus tragedi kepala air berlaku tahun lalu. – Gambar NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI

YAN (14 NOVEMBER 2022) : Mangsa tragedi kepala air Titi Hayun bersyukur menerima bantuan segera daripada kerajaan sejurus kejadian itu berlaku pada tahun lalu.

Mereka berkata, bantuan awal seperti wang tunai, makanan serta kelengkapan harian disalurkan dengan segera sejurus tragedi berlaku pada 18 Ogos 2021.

Penduduk Kampung Dusun Manggis, Rahim Seman, 61, berkata, dia tidak menyangka bantuan diterima daripada kerajaan terlalu banyak sehinggakan tidak termampu jika dia hendak membeli sendiri menggantikan barangan rosak.

Katanya, tikar getah serta perabot yang rosak digantikan semula dan hanya televisyen dibeli baru menggunakan wang pemberian kerajaan.

“Tak sangka kejadian itu berlaku dengan pantas kerana rumah saya sebelum ini tidak pernah dimasuki air tapi dalam kejadian kepala air tahun lalu, air masuk sehingga paras buku lali, tapi penuh dalam rumah.

“Habis semua barangan dalam rumah rosak ditenggelami air bersama lumpur, tapi bantuan yang diterima dari kerajaan sangat cepat.

“Barangan keperluan dapur seperti beras, gula semua diberikan segera untuk mengalas perut kami enam beranak yang ketika itu tidak mampu berbuat apa-apa melainkan duduk dalam rumah yang ditenggelami air,” katanya.

Rahim berkata, ada juga pihak yang datang untuk mengecat semula rumah yang sudah pudar warna selain membantu mereka mencuci rumah hasil tinggalkan lumpur yang banyak.

Katanya, dia bersyukur kerana kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sangat prihatin dengan masalah rakyat seperti yang berlaku dalam tragedi kepala air yang dialami mereka tahun lalu.

Sementara itu, Sukiena Abu Bakar, 53, berkata, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun turut menyampaikan sumbangan barangan elektrik kepada mereka sekeluarga yang terjejas akibat tragedi itu.

Katanya, bantuan lain yang disalurkan kepada mereka juga cepat iaitu sehari selepas tragedi itu berlaku banyak bantuan dapat.

“Ketika itu pula masih Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 menyebabkan kami sukar untuk membeli barangan makanan, tetapi tak perlu cari, semuanya dah dihantar di depan.

“Bantuan memang cepat, semalam berlaku tragedi itu, hari ni bantuan dah sampai. Alhamdulillah.

“Ini termasuklah bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan untuk kemudahan kami,” katanya.

Sukiena berkata, wang bantuan yang diterimanya itu dapat digunakan untuk membeli perabot dan tikar getah baru yang semuanya rosak akibat ditenggelami air.

Sementara itu, Syazwan Anas Abd Mutalib, 40, yang juga pengurus Chalet Salak Denai berkata, pihaknya menerima bantuan wang tunai sebanyak RM8,000 beberapa hari selepas tragedi itu berlaku.

Katanya, wang itu digunakan untuk membaiki chalet yang rosak akibat dihanyut arus deras ketika kejadian berlaku.

“Dalam kejadian itu, enam unit chalet dan rumah saya rosak akibat air deras, malah kejadian itu turut mengorbankan datuk saya, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, yang ditemui pada hari kelima tragedi berlaku.

“Wang yang saya dapat daripada kerajaan digunakan membaiki semula chalet yang rosak dan setakat ini, empat buah chalet sudah beroperasi dan dibuka kepada pengunjung.

“Saya akui bantuan daripada kerajaan memang cepat ketika itu dan dapatlah kami memulakan hidup baru susulan tragedi itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Syazwan Anas, dia sudah memohon bantuan daripada agensi kerajaan berkaitan untuk membaiki sebahagian lagi chalet yang rosak dan berharap ia dipermudahkan untuk meneruskan perniagaannya.

Sumber : Harian Metro