AIR PASANG BESAR DIJANGKA DI KUALA KEDAH, KUALA MUDA, BERMULA ESOK

ALOR SETAR (23 NOVEMBER 2022) : Air pasang besar diramalkan berlaku di dua daerah di negeri ini iaitu di Kota Setar dan Kuala Muda, selama tiga hari bermula esok sehingga Sabtu ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, bagi daerah Kota Setar, air pasang besar ini dijangka berlaku di Kuala Kedah yang akan menyebabkan paras air laut mencecah 2.9 meter (m).

Beliau berkata, antara lokasi yang dijangka dinaiki air adalah di Terminal Feri Kuala Kedah, Taman Seri Putra, Pasar Kota Marina dan Pekan Kuala Kedah.

“Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar akan melakukan pemantauan di kawasan itu ketika air pasang berlaku.

“Ia bertujuan untuk memastikan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan kerana waktu dijangka berlaku air pasang adalah pada 12.35 tengah malam esok; 1.09 pagi , Jumaat; manakala 1.47 pagi Sabtu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azhar Ahmad berkata, pantai Kota Kuala Muda dan pantai Tanjung Dawai dijangka akan terkesan berlakunya air pasang besar ini.

Beliau berkata, sembilan kampung di tiga mukim yang berkemungkinan dinaiki air adalah Kampung Kepala Jalan dan Kampung Hujung Matang di Mukim Kuala, Kampung Sungai Meriam dan Kampung Sungai Yu di Mukim Bukit Meriam.

“Selain itu, lima kampung iaitu Kampung Nelayan, Kampung Bagan Asam, Pekan Tanjung Dawai, Kampung Huma dan Kampung Sungai Pial di Mukim Merbok dijangka turut terkesan,” katanya.

Azhar berkata, paras air laut dijangka mencecah 2.9 m sepanjang tiga hari ramalan kejadian itu.

Sehubungan itu, penduduk di kawasan pesisir pantai dinasihatkan supaya bersiap sedia untuk berpindah, sekiranya kediaman mereka dinaiki air ketika tempoh air pasang berlaku.

Sumber : Harian Metro