JPBM KEDAH SIAP SEDIA HADAPI BANJIR, RISIKO TANAH RUNTUH

Sayani Saidon (kiri) mendengar taklimat mengenai maklumat berkaitan bencana Monsun Timur Laut di negeri dari daripada Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi JBPM Kedah, Penguasa Bomba Muhammad Izzat Othman (kanan). FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

ALOR SETAR (19 DISEMBER 2022) : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah bersedia menghadapi banjir dan risiko berlakunya tanah runtuh di negeri ini berikutan perubahan cuaca tidak menentu ketika Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.

Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, hasil pemantauan di beberapa sungai mendapati paras air sungai di Padang Terap dan Kubang Pasu setakat ini sudah melepasi amaran dan persiapan perlu dilakukan bagi menghadapi banjir.

Menurutnya, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), kadar hujan yang akan diterima di beberapa negeri termasuk Kedah dijangka sehingga 21 Disember ini.

“Cuti pegawai dan anggota JBPM Kedah tidak dibekukan dan hanya 20 peratus dibenarkan bercuti untuk menghadapi MTL yang bermula sejak November hingga Mac ini.

“Saya sudah memaklumkan semua ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini supaya menghantar anggota untuk melakukan pemantauan di kawasan ‘hot spot’ sungai yang dinaiki air sekiranya hujan lebat berterusan.

“Sekiranya paras air sungai di kawasan berkenaan sudah melepasi paras bahaya, kita akan nasihatkan penduduk terutama di kawasan berisiko rendah supaya bersiap sedia untuk berpindah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kedah, di sini hari ini.

Sayani berkata, di Kedah lebih berisiko kepada banjir kilat sekiranya hujan lebat namun jika jumlah hujan yang banyak dan bertembung dengan air pasang besar, mungkin boleh berlakunya banjir monsun.

Beliau berkata, pihaknya tidak fokus pada bencana banjir sahaja namun runtuhan tanah dan kebakaran.

Katanya, pihaknya turut mengenal pasti 218 lokasi berisiko berlakunya banjir di negeri ini iaitu Kota Setar (32), Kubang Pasu (16), Padang Terap (7), Pokok Sena (4), Sik (21), Baling (52), Pendang (5), Bandar Baharu (14), Kulim (25), Kuala Muda (17) Yan (6) dan Langkawi (19).

“Kita melihat sewaktu MTL ini, taburan hujan di banyak kawasan adalah tinggi yang menyebabkan kadar penyerapan air di sesuatu kawasan berbeza sama ada tempat itu menjadi tempat dilanda banjir atau pun kawasan cerun di mana jumlah kepadatan hujan yang tinggi tapi cerun itu tidak diselenggara dengan baik kemungkinan boleh berlaku tanah runtuh.

“Sepanjang tahun ini, tiga kejadian tanah runtuh dilaporkan di negeri ini iaitu satu di Kelang Lama, Kulim dan dua kejadian di Langkawi iaitu Kampung Surau Buluh Penyumpit serta Bukit Tekoh,” katanya.

Sayani berkata, JBPM Kedah turut memberi fokus di 39 kawasan ‘hot spot’ kawasan peranginan di negeri ini yang berisiko berlaku kepala air ketika MTL ini.

Beliau berkata, antara pusat peranginan terbabit iaitu Kubang Pasu (2), Guar Chempedak (3), Kulim (4), Padang Terap (2), Langkawi (4), Pendang (1), Bandar Baharu (1), Kuala Muda (3), Sik (5), Yan (3) dan 11 kawasan di Baling.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya mengelak dari mengunjungi pusat peranginan buat sementara waktu ketika musim cuaca begini kerana tidak sesuai untuk sebarang aktiviti perkelahan, perkhemahan atau beriadah

“Namun sekiranya mengunjungi kawasan itu, jika mendapati terdapat tanda air bertukar menjadi keruh, air mengalir laju dengan disertai ranting kayu serta daun kering, deruan air dari atas gunung atau bukit serta awan bertukar gelap di bahagian atas, segeralah beredar dari kawasan itu kerana dikhuatiri berlaku kepala air,” katanya.

Sumber : Harian Metro