ALOR SETAR (20 DISEMBER 2022) : Air pasang besar dijangka berlaku di sepanjang pantai di negeri ini sepanjang minggu ini, bermula esok sehingga 28 Disember ini, yang boleh mengakibatkan ombak setinggi 3.3 meter.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, sehubungan itu, penduduk di sekitar pesisir pantai atau pengunjung yang beriadah atau menjalankan aktiviti pantai ketika itu dinasihatkan supaya berhati-hati.
“Jika berlaku hujan beberapa hari sebelum itu dan pada masa sama air pasang besar berlaku, kita perlu lebih berhati-hati kerana berkemungkinan ada kawasan rendah akan dinaiki air,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelepasan aset APM Kedah dalam misi bantuan banjir ke Kelantan dan Terengganu di Pejabat APM Kota Setar, malam tadi.
Menerusi misi itu, seramai 20 anggota termasuk seorang pegawai yang diketuai Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berlepas 10 malam tadi akan membantu mangsa banjir di pantai timur.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Operasi Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, Kedah akan mengalami hujan sehingga esok dan ketika hujan, ombak bergelora dan agak tinggi.
Sehubungan itu katanya, bendera merah akan dikibarkan di sepanjang pantai untuk dalam menjaga keselamatan pengunjung.
Beliau berkata, tujuan bendera merah diletakkan adalah untuk memaklumkan kepada orang ramai keadaan pantai ketika itu adalah tidak selamat untuk mandi.
“Apabila pengunjung melihat bendera merah itu diletakkan di sepanjang Pantai Merdeka di Kuala Muda dan Pantai Chenang serta Pantai Tengah di Langkawi, kita berharap pengunjung tidak mandi laut.
“APM berharap pengunjung dapat mematuhi arahan petugas pantai bagi mengelak kejadian tidak diingini terutama kejadian lemas,” katanya.
Sumber : Harian Metro