8 CERUN KRITIKAL DIKENAL PASTI DI KEDAH

Mohd Firdaus Ahmad. FOTO Noorazura Abdul Rahman

ALOR SETAR (21 DISEMBER 2022) : Lapan lokasi cerun kritikal dikenal pasti di Kedah yang perlu diberi perhatian sama ada ditutup atau sebaliknya ketika musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri Mohd Firdaus Ahmad berkata, hasil pemantauan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati, kawasan Gunung Keriang di sini, dikategorikan sebagai tahap tinggi.

“Turut dikenal pasti kawasan kategori tahap tinggi ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Meriam Kuala Muda, Sungai Petani dan Sekolah Kebangsaan Kilim, Langkawi.

“Empat kawasan lagi dikategorikan sebagai tahap sederhana iaitu Taman Kenari, Kulim; Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chung Hwa, Kuala Muda; Jalan Ulu Melaka, Langkawi dan Taman Helang, Langkawi, manakala Kompleks Kraftangan, Langkawi pula dikategorikan sebagai tahap rendah,” katanya ditemui hari ini.

Mohd Firdaus berkata, JMG juga mengesan terdapat beberapa lokasi Taman Eko Rimba (TER) di Kedah yang berisiko mengalami fenomena kepala air.

“Kawasan itu adalah di Titi Hayun, Yan; Tupah dan Seri Perigi, Kuala Muda; Puncak Janing, Padang Terap; Sungai Sedim, Kulim; Bukit Hijau, Baling; Telaga Tujuh, Langkawi; Lata Bayu, Baling dan Bukit Wang, Kubang Pasu.

“Selain kawasan yang dinyatakan, terdapat juga kawasan lain yang berisiko, tetapi pada tahap rendah seperti sepanjang jalan ke Puncak Jerai, sepanjang jalan Gunung Raya, Langkawi; Lebuh Raya Timur Barat, Baling dan Jalan Tanjung Jaga, Yan,” katanya.

Beliau berkata, semua agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah (JPBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memantau kawasan berisiko bencana dan melaporkan kepada jawatankuasa untuk tindakan susulan.

“JPBN mencadangkan kerajaan negeri mengeluarkan arahan kepada semua pengunjung dan pelancong agar tidak melawat dan mengadakan sebarang aktiviti di tempat berisiko seperti dinyatakan mulai 20 Disember sehingga pertengahan Januari 2023.

“JPBN turut mencadangkan semua pemain industri pelancongan dan perniagaan di kawasan cerun dan di TER mengurangkan atau menghentikan operasi buat sementara waktu sehingga pertengahan Januari 2023, atau sehingga keadaan cuaca bertambah baik,” katanya.

Sumber : Harian Metro