FERI LANGKAWI – KOH LANTA BAKAL BEROPERASI

NASARUDDIN (kiri) menunjukkan isyarat bagus selepas Sesi Perjumpaan Penggiat Industri pelancongan Langkawi di Kompleks LADA, Langkawi. FOTO Hamzah Osman

LANGKAWI (9 JANUARI 2023) : Perkhidmatan feri bagi Langkawi-Koh Lanta, Krabi, Thailand, bakal beroperasi dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, perbincangan awal berkaitan perkara itu dimulakan pihaknya, Jumaat lalu.

“Kerjasama itu dirintis ketika lawatan kerja Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn bersama 28 delegasi negara itu ke Langkawi minggu lalu.

“Pihak Thailand memohon kita mempertimbangkan perkhidmatan feri Langkawi-Koh Lanta yang mampu memberi manfaat kepada industri pelancongan kedua-dua negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Sesi Perjumpaan Penggiat Industri Pelancongan Langkawi di Kompleks LADA.

Nasaruddin berkata, cadangan operasi laluan baharu perjalanan feri ke destinasi berkenaan juga turut dipersetujui Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line).

“Kerjasama ini akan diperkukuhkan menerusi perbincangan peringkat lanjut bersama Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, Tourism Malaysia dan LADA,” katanya.

Sumber : Harian Metro