MENU ISTIMEWA WARUNG STRAWBERI

PELANGGAN yang berkunjung bersama keluarga berpuas hati dengan makanan berasaskan strawberi di Warung Strawberi Cik Haza.

SUNGAI PETANI (16 JANUARI 2023) : Lambakan strawberi hasil tanaman yang diusahakan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu menyebabkan Nurul Asyikin Noor Rasdi, 29, menceburkan diri membuka perniagaan kedai dan makan berasaskan buah itu.

Bermula dengan tanaman kecil-kecilan di kawasan rumah, kini beliau mampu membuka perniagaan yang memberi hasil lumayan.

Katanya, dia tidak menyangka tanaman strawberi yang diusahakannya membuahkan banyak hasil ketika PKP 2021.

“Pada waktu itu, saya hanya mampu jual buah strawberi melalui penghantaran dari rumah ke rumah (COD) menyebabkan berlaku lambakan.

“Dari situ, saya perluaskan tanaman strawberi di kawasan kebun di sekitar daerah ini dan memulakan perniagaan makanan dengan lima produk berasaskan strawberi sehingga mendapat sambutan ramai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Nurul Asyikin, rasa dan saiz strawberi di kebun miliknya sama seperti di Cameron Highlands termasuk rasanya manis.

Namun katanya, untuk menjaga strawberi itu bergantung pada cuaca malah ia tidak boleh terdedah pada hujan lebat atau panas terik.

“Di kedai saya, pelbagai jenis barangan berasaskan strawberi dijual termasuklah jus minuman strawberi segar, aiskrim batang strawberi, sambal strawberi, kek, teh strawberi dan banyak lagi.

“Selain itu, untuk pelanggan yang makan di sini, kami menyediakan nasi lemak strawberi, scones strawberi, strawberi kering, jagung manis rebus, ubi manis rebus dan pelbagai menu lain,” katanya ketika ditemui di di Warung Strawberi Cik Haza yang dibuka di Jalan Sungai Jagung, di sini.

Menurut Nurul Asyikin, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pengusaha bakeri di sekitar kawasan utara yang mahu mencari strawberi segar.

Sumber : Harian Metro