KEDAH UMUM 5 FEBRUARI CUTI PERISTIWA SEMPENA THAIPUSAM

FOTO ARKIB NSTP

ALOR SETAR (24 JANUARI 2023) : Kerajaan negeri Kedah mengumumkan perayaan Thaipusam yang disambut pada 5 Februari depan sebagai cuti peristiwa.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata keputusan meluluskan pemberian cuti itu dibuat menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pada 18 Januari lalu.

“Pemberian cuti peristiwa ini adalah bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada penganut Hindu di negeri ini meraikan hari kebesaran agama mereka bersama keluarga.

“Kepada yang bukan beragama Hindu, pemberian cuti peristiwa ini juga diharap dapat memberikan mereka manfaat yang sebaik-baiknya memandangkan ia jatuh pada hari Ahad yang berturutan dengan cuti mingguan,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Isu cuti peristiwa sempena perayaan Thaipusam di Kedah hangat diperdebatkan pada awal tahun 2021 apabila kerajaan negeri memutuskan tiada cuti peristiwa untuk perayaan itu pada 28 Januari tahun berkenaan.

Pada waktu itu Muhammad Sanusi menegaskan bahawa keputusan kerajaan negeri bukan bertujuan untuk menafikan hak penganut Hindu sebaliknya rakyat sememangnya telah pun ‘dicutikan’ oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumber : Harian Metro