KERAJAAN AMBIL LANGKAH BERJAGA-JAGA PENULARAN SELSEMA BURUNG

MOHAMAD Sabu merasmikan Jualan ‘Happy Hour’ harga ayam RM6. 98 sekilogram ketika mengadakan Pusat Jualan Ayam Bismi di Simpang Empat. FOTO Noorazura Abdul Rahman

ALOR SETAR (25 JANUARI 2023) : Kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga memastikan bekalan ayam dalam negara tidak terjejas susulan penularan wabak selsema burung yang dilapor berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah ketika ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata pihaknya sentiasa meneliti dan memantau perkembangan terkini penularan wabak berkenaan, walaupun Malaysia belum mencatat sebarang kes berkaitan selsema burung.

“Kita melihat dan meneliti masalah ini (wabak selsema burung) dari semasa ke semasa, memang buat masa sekarang keadaan (bekalan) ayam adalah stabil dan bagi masa akan datang, kita harap ia (bekalan) terus stabil.

“Setakat ini wabak selsema burung ini belum beri kesan kepada bekalan ayam negara,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Jualan Ayam Bismi di Simpang Empat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media bahawa negara bakal berdepan ancaman keselamatan makanan serius berikutan bekalan ayam seluruh negara dijangka menyusut 40 peratus menjelang Jun tahun ini.

Penyusutan itu, jika benar-benar berlaku, akan menyaksikan bekalan ayam di pasaran berkurangan daripada 2.2 juta ekor sehari, kepada cuma 1.3 juta ekor, iaitu kekurangan sebanyak 900,000 ekor ayam.

Sumber industri ternakan ayam mendedahkan, isu kekurangan bekalan protein itu berlaku kerana penularan wabak selsema burung yang serius di hampir seluruh negara di hemisfera utara terutama di Eropah dan Amerika Syarikat.

Difahamkan, Malaysia bergantung kepada import ayam pembiak baka dari Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat, namun negara berkenaan dijangka mengetatkan eksport bahan itu lantaran wabak yang mampu mengancam nyawa manusia berkenaan.

Sementara itu, Mohamad memaklumkan, kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan ayam dan telur tempatan kini dalam proses pemulihan secara berperingkat.

“(Bekalan) ayam dan telur sedang pulih, dia masalah benda hidup ini kita tak boleh letak tarikh (bila akan selesai), namun kita sedang berusaha.

“(Contoh) jalan raya, kita boleh cakap jalan ini siap pada bulan Julai, tetapi hal makanan ini kita jamin ia ada (di pasaran) dan harganya ikut pasaran pada waktu itu. Dia soal benda hidup, setakat ini kita tidak ada masalah bekalan,” katanya.

Sumber : Harian Metro