MBAS CADANG LAKSANA ‘FLEXI PARKING’

Datuk Bandar Alor Setar, Mohd Yusri Md Daud

ALOR SETAR (22 FEBRUARI 2023) : Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bercadang melaksanakan ‘Flexi Parking’ iaitu sistem bayaran tempat letak kereta menggunakan telefon pintar dalam tempoh terdekat.

Datuk Bandar Alor Setar, Mohd Yusri Md Daud berkata, sistem berkenaan akan menjadi kaedah alternatif kepada penggunaan kupon tempat letak kereta ketika ini.

“Insya-ALLAH, kita akan buat (laksana) ‘flexi parking’ bermula pada bulan depan. Sekarang ini, mungkin kita akan cuba bagi penerangan terlebih dahulu.

Mohd Yusri memaklumkan, sistem yang akan diperkenalkan terbabit menggunakan aplikasi telefon mudah alih yang membolehkan imbasan nombor plat kenderaan pengguna dilakukan.

Menurutnya, pengguna kemudiannya akan dimaklumkan jumlah bayaran tempat letak kenderaan perlu dijelaskan melalui aplikasi terbabit.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan, inisiatif bakal diperkenalkan bagi memudahkan pengguna terbabit merupakan sebahagian usaha MBAS menyokong perlaksanaan ‘Kedah Cashless’ diperkenalkan kerajaan negeri pada baru-baru ini.

Sehubungan itu, kata Mohd Yusri, MBAS sendiri sedikit demi demi sedikit akan memulakan usaha ke arah penggunaan bayaran tanpa tunai termasuklah melalui flexi parking itu.

Sumber : Sinar Harian