LEBIH 25 RUMAH TERJEJAS RIBUT DI KEDAH

Anggota APM melakukan pemantauan di kediaman penduduk yang terjejas ribut di Yan dan Pokok Sena. FOTO Ihsan APM.

YAN (27 MAC 2023) : Lebih 25 rumah terjejas di Yan dan Pokok Sena susulan ribut dan hujan lebat, petang tadi.

Kejadian berlaku di Kampung Tualang Bukit Besar di Yan dan Mukim Tualang, Pokok Sena, dengan bumbung diterbangkan angin, selain mengalami kerosakan lain.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, pemantauan pihaknya mendapati 25 rumah di Kampung Tualang Bukit Besar rosak kebanyakannya di bumbung.

“Penduduk dinasihati supaya lebih berwaspada sekiranya berlaku hujan lebat atau ribut.

“Anggota kami masih lagi melakukan pemantauan untuk mendapatkan jumlah sebenar rumah yang terjejas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, ribut berlaku di Pokok Sena mulai 4.50 petang yang menjejaskan beberapa rumah rumah di Kampung Nawa dan Kampung Kuan Buang dalam Mukim Tualang.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar/Pokok Sena, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat dan membantu penduduk kampung yang memerlukan.

Sumber : Harian Metro