RIBUT RANAPKAN KHEMAH PENIAGA KARNIVAL RAYA PADANG SERAI

SEBAHAGIAN besar khemah peniaga di Karnival Raya Padang Serai yang rosak akibat ribut. FOTO Ihsan IHSAN Abdul Halim.

KULIM (28 MAC 2023) : Sebahagian besar peniaga Karnival Raya Padang Serai, di sini, terpaksa menanggung kerugian apabila khemah perniagaan mereka rosak dipukul ribut, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku jam 3.30 petang ketika kesemua peniaga sedang menjalankan perniagaan masing-masing.

Peniaga, Abdul Halim Hashim, 50, berkata, dia yang baharu tiba di lokasi sejurus kejadian berlaku terkejut melihat khemah peniaga berselerak.

Katanya, paling terkesan adalah peniaga pakaian kerana banyak baju yang basah akibat hujan lebat.

“Terdapat lebih 70 peniaga yang berniaga di karnival ini dan kebanyakan mereka terpaksa menanggung rugi kerana semua barangan rosak.

“Gerai menjual minuman dan makanan pula rosak akibat hujan lebat serta berselerak.

“Walaupun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan tetapi kasihan juga pada semua peniaga akibat kejadian ini yang berlaku secara tiba-tiba,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Halim berkata, karnival itu berlangsung sejak awal Ramadan lalu sehingga Aidilfitri ini.

Sumber : Harian Metro