SANUSI ANGKAT SUMPAH MB KEDAH KE-15

mb_angkat_sumpah
FOTO WARTA KEDAH

ALOR SETAR (14 OGSO 2023): Mantan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dipilih sekali lagi sebagai Menteri Besar Kedah buat kali kedua selepas parti Perikatan Nasional di bawah pimpinan beliau diberi mandat memenangi 33 dari 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Pilihanraya Dewan Undangan Negeri (PRN) 12 Ogos yang lalu.

Istiadat Mengangkat Sumpah Menteri Besar Kedah di hadapan Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berlangsung di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Majlis istiadat dimulai dengan pembacaan Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali sebelum Menteri Besar Kedah melafazkan sumpah jawatan.

Majlis disusuli dengan istiadat menandatangani Buku Sumpah Jawatan sebagai Menteri Besar serta disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dan Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abd Rahman Abdullah.

Majlis Mengangkat Sumpah diteruskan dengan Penyerahan Tauliah Pelantikan oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah kepada Menteri Besar Kedah dan di akhiri dengan bacaan doa oleh Timbalan Mufti Negeri Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin.

Hadir sama Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja, Dato’ Paduka Bakar Din; Dato’ Seri Maharaja Lela, Dato’ Indera Setia, Dato’ Paduka Mohd Omar Mohamed; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wira Isahak Murat; Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, Dato’ Nik Azhan Hakim Nik Mahmood dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Kedah, Dato’ Syed Khairul Anuar Syed Abidin.

Sumber : Facebook – Warta Kedah