PELAN PEMBANGUNAN KEDAH 2035 MAMPU LONJAKAN IDENTITI SEMUA DAERAH DI KEDAH

FOTO WARTA KEDAH

ALOR SETAR (27 NOVEMBER 2023) – Kerajaan Negeri menyedari berlakunya ketidakseimbangan pembangunan antara daerah-daerah di Negeri Kedah dan bagi memastikan kemajuan di setiap daerah dapat dilonjakkan, Pelan Pembangunan Kedah 2035 telah menetapkan identiti mengikut kekuatan dan potensi masing-masing di setiap daerah.

Dalam konteks Daerah Baling yang merupakan antara daerah yang termiskin di Kedah, Pelan Pembangunan Kedah 2035 menetapkan identitinya sebagai sebuah Daerah Pelancongan Eko dengan mengambil kira Hutan sebagai guna tanah terbesar yang kaya dan berpotensi untuk dibangunkan produk-produk pelancongan berasaskan sumber semulajadi.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata Kerajaan Negeri telah merancang untuk memperkasa produk-produk pelancongan yang bersifat pelancongan eko di dalam Daerah Baling seperti Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong. Kawasan Perkelahan Air Terjun Lata Hijau dan Lata Bayu serta Gunung Baling akan terus diberi perhatian oleh pihak Kerajaan Negeri.

“Kajian Pelan Pembangunan Pelancongan Rangkaian Gua di Gunung Pulai melibatkan Gua Sireh, Gua Badak, Gua Landak dan Gua Air di Bukit Wang, Daerah Baling yang telah dilaksanakan oleh PLANMalaysia@Kedah adalah salah satu usaha untuk mempelbagaikan dan menambahnilai produk pelancongan eko ini yang telah mula mendapatkan perhatian para pelancong. Kerajaan Negeri merancang untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan melalui NCIA bagi penyediaan infrastruktur yang bersesuaian.

“Selain daripada tumpuan kepada sektor pelancongan eko, sektor pembuatan juga diberi perhatian khususnya di kawasan Kuala Ketil serta Kupang seperti yang diperincikan di dalam Rancangan Struktur Negeri Kedah 2035 melalui penetapan berikut iaitu pertama Kuala Ketil, Daerah Baling sebagai Kluster Industri Pembuatan dan Perkhidmatan serta Kluster Industri Tenaga Boleh Diperbaharui, kedua Mukim Kupang, Daerah Baling ditetapkan sebagai Hub Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS).

“Pembangunan Pusat Ekonomi dan Komuniti Bersepadu (iCON) di Baling oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) juga dilihat dapat membantu mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar dengan menyediakan landasan kepada usahawan dan komuniti luar bandar dengan pasaran di bandar yang lebih luas.

“Projek ICON Baling yang dijangka siap pada Januari 2025 bakal memanfaatkan pengusaha kecil dan sederhana dalam meningkatkan nilai produk tempatan serta menjadi kawasan tarikan baharu di Daerah Baling,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawap pertanyaan mulut oleh ADUN Kupang, Brig. Jen (B) Dato’ Najmi Ahmad dalam Persidangan Dewan Negeri Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Ke-15 (Mesyuarat Bajet) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata Daerah Baling turut dijangka mendapat limpahan ekonomi melalui kewujudan kawasan perbandaran yang baharu khususnya di Kuala Ketil dan hasil daripada pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi seperti Pembangunan Kedah Aerotropolis di Sidam Kiri dan Lebuhraya Koridor Utara (NCH) menerusi jajaran serta pembangunan interchange yang berhampiran.

“Selain itu, Projek Pembinaan Rancangan Tebatan Banjir Baling Fasa 2 yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan di dalam Belanjawan 2024 adalah projek infrastruktur penting yang dirancang untuk membantu mengurangkan beban ekonomi penduduk tempatan yang terjejas akibat banjir.

“Dari segi usaha untuk meningkatkan pendapatan penduduk Daerah Baling. Kementerian Ekonomi dan NCIA dengan kerjasama Kerajaan Negeri telah melaksanakan program pembasmian kemiskinan tegar keluarga Malaysia pada masa ini, melibatkan tujuh peserta manakala 68 orang peserta telah disenarai pendek untuk Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan terus komited untuk memastikan pembangunan di setiap daerah dapat dicapai berdasarkan kerangka yang telah disediakan di dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 menerusi identiti daerah yang telah ditetapkan mengikut kekuatan dan potensi masing-masing dengan tumpuan samarata akan diberikan oleh Kerajaan Negeri melalui strategi dan inisiatif yang bersesuaian,” ujarnya.

Sumber : Facebook – Warta Kedah