KERAJAAN NEGERI KOMITED BIMBING MUALAF MELALUI PELBAGAI AGENSI DAN NGO

FOTO WARTA KEDAH

ALOR SETAR (28 NOVEMBER 2023) – Pihak Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah proaktif dalam usaha membimbing mualaf melalui pelbagai agensi kerajaan dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Mohd Azam Abd Samat berkata Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) memalui Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA) yang terletak di Sungai Petani telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan kelas bimbingan untuk saudara baharu sejak tahun 1990.

“Untuk makluman, PUSBA menyediakan pengajian Al Quran dan asas fardhu ain sepenuh masa selama empat bulan bagi tahap pertama dan empat bulan tahap kedua. Selain itu, pelajar turut disediakan kemudahan penginapan, pakaian, makan minum dan alat tulis serta dibayar elaun pengajian sebanyak RM300.00 sebulan melalui peruntukan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

“Untuk pelajar yang tidak berpeluang untuk mengikuti pengajian sepenuh masa disebabkan kekangan kerja atau sudah berkeluarga, mereka boleh mengikuti kelas mingguan yang diadakan di lapan daerah iaitu di daerah Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu, Baling, Kulim, Pendang, Padang Terap dan Langkawi. Satu lagi kelas akan dibuka di Daerah Sik pada tahun 2024 dengan mood pengajian selama tiga jam, dua kali seminggu sama ada pada hari Jumaat dan Sabtu atau Sabtu dan Ahad mengikut ketetapan di kawasan masing-masing.

“Bagi membantu mualaf, mereka juga dibayar elaun kehadiran sebanyak RM35.00 untuk setiap kali kehadiran. Bagi pelajar yang tidak dapat mengikuti pengajian sepenuh masa dan kelas mingguan, PUSBA sedang berusaha untuk melaksanakan kursus intensif jangka pendek kepada saudara baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawap pertanyaan lisan oleh ADUN Pedu, Mohd Radzi Md Amin dalam Persidangan Dewan Negeri Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Ke-15 (Mesyuarat Bajet) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

ADUN Pedu mohon pihak kerajaan menyatakan apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk membimbing mualaf di Negeri Kedah.

Dalam pada itu, Azam juga menjelaskan bahawa Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) juga menerusi Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah (PDIK) sentiasa menyokong dan meletakkan keutamaan yang tinggi untuk semua perancangan program dan aktiviti anjuran MAIK berkaitan bimbingan mualaf di Negeri ini.

“Pada tahun 2023, PDIK telah beberapa kali menjalinkan kerjasama bersama PUSBA dengan menyediakan kursus kepada para mualaf khususnya yang berada di sekitar Bandaraya Alor Setar. YINK bersedia menawarkan kemudahan ini kepada pihak PUSBA atau mana-mana pihak sekiranya diperlukan untuk kegunaan pada masa hadapan.

“Selain itu, Unit Ukhuwah, Bahagian Dakwah JHEAIK juga telah dan bakal melaksanakan Kursus Intensif Saudara Baru selama tiga hari dua malam, tiga kali setahun, Kursus Sembelihan sekali setahun dan menerbitkan risalah bimbingan kepada mualaf,” tambahnya.

Sumber : Facebook – Warta Kedah