GUNUNG JERAI AKAN DIJADIKAN PRODUK EKO PELANCONGAN WAJIB DIKUNJUNGI

FOTO WARTA KEDAH

ALOR SETAR (30 NOVEMBER 2023) – Gunung Jerai merupakan sebuah gunung yang terdapat di negeri Kedah Darul Aman, bersempadan dengan daerah Kuala Muda dan Yan berketinggian 1,207 meter. Gunung Jerai menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara kerana kesejukan alam semulajadi yang terdapat di puncak Gunung Jerai sekitar 19 hingga 24 darjah celcius. Selain itu Gunung Jerai juga menjadi ikon bagi Jerai Geopark yang telah diiktiraf pada 18 Julai 2017 oleh Geopark Kebangsaan Malaysia yang telah dimasyhurkan pada 24 November 2018 oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata bagi memastikan Gunung Jerai terus menjadi tempat tumpuan pelancong, satu projek iaitu Jerai Sky View Open Deck yang dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) masih dalam fasa pembinaan dan masih belum siap sepenuhnya dan dijangka akan dibuka kepada pelancong pada pertengahan bulan Disember tahun ini.

“Projek ini dijangka mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang dan menikmati keindahan yang terdapat di puncak Gunung Jerai sekaligus menjadikan ia salah satu produk yang wajib dikunjungi bersempena dengan Tahun Melawat Kedah 2025.

“Selain itu, melalui Rancangan Tempatan Daerah Yan 2020 (RTDY 2020), Gunung Jerai telah dicadangkan beberapa projek pelancongan seperti cadangan Cable Car atau Sky Tram, Pelantar Pandang, Pusat Wind Gliding dan Taman Negeri Gunung Jerai manakala di dalam draf rancangan tempatan baharu iaitu draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Yan 2035 yang sedang dalam proses pewartaan juga turut mencadangkan projek sambungan yang berpotensi daripada RTDY 2020 dan cadangan projek baharu Cable Car, Kompleks Pelancongan Bersepadu Jerai Geopark, Jerai Eco Adventure Park, Stesen Penyelidikan FRIM, Royal Forest Park, Perkhidmatan Trans Warisan Jerai Geopark, Jerai Sky View Open Deck dan Ski Slope.

“Semua cadangan projek di Gunung Jerai akan membentuk sebuah Taman Wilayah Gunung Jerai pada masa hadapan. Projek-projek pelancongan ini dicadangkan berdasarkan potensi yang ada di Gunung Jerai dan kawasan persekitarannya, namun pelaksanaannya memerlukan kerjasama serta komitmen semua pihak termasuk melibatkan peruntukan kewangan yang agak besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang di bangkitkan oleh ADUN Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad dalam Persidangan Dewan Negeri Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Ke-15 (Mesyuarat Bajet) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Persoalan yang dikemukakan oleh ADUN berkenaan merupakan perancangan pihak kerajaan untuk menjadikan Gunung Jerai sebagai tempat destinasi pelancongan yang menarik dan adakah pihak kerajaan merancang untuk membangunkan infrastruktur di Pulau Bidan dan Pulau SongSong, Yan serta apakah peranan pihak kerajaan untuk menjaga tapak-tapak warisan yang terdapat di Daerah Yan dan seluruh Negeri Kedah.

Bagi menjelaskan persoalan tersebut, Salleh turut berkata Pulau Songsong dan Pulau Bidan adalah pulau yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang dan menikmati keindahan dan keunikan yang terdapat di pulau tersebut. Jika pelancong hendak ke Pulau Songsong dan Pulau Bidan, para pelancong boleh menaiki bot yang terdapat di empat buah jeti iaitu Jeti Sungai Udang, Jeti Kampung Kuala Dulang, Jeti Kuala Sungai, Yan dan Jeti Tanjung Dawai, Kuala Muda.

“Kedua-dua pulau ini mempunyai potensi dari aspek pelancongan kerana keunikannya yang tersendiri serta kedudukan geografinya. Oleh itu, beberapa cadangan pada masa hadapan turut dimasukkan di dalam draf Rancangan Tempatan Daerah Yan 2035 seperti kemudahan pelancongan asas untuk tujuan aktiviti perkhemahan, perkelahan, snorkeling, memancing, island hoping, berkayak dan lain-lain lagi. Antara kemudahan yang dicadangkan termasuklah jeti pendaratan, kaunter informasi, wakaf, tandas, surau, tapak perkhemahan dan lain-lain yang bersesuaian. Selain itu, kerajaan negeri akan menaiktaraf isu bekalan air di kedua-dua buah pulau tersebut.

“Bagi memelihara tapak warisan di Negeri Kedah, Kerajaan Negeri akan mengawal selia hal berkaitan bangunan serta khazanah warisan yang terdapat di Negeri Kedah. Selain itu, kerajaan negeri bercadang untuk melantik Lembaga Muzium Negeri Kedah (LMNK) atau pun mewujudkan satu agensi khas bagi menjaga tapak warisan yang telah diwartakan. Ini membolehkan agar tapak-tapak warisan tersebut terpelihara untuk tujuan pelancongan warisan,” jelasnya.

Sumber : Facebook – Warta Kedah