PENINGKATAN KES COVID-19, SANUSI INGATKAN RAKYAT BERJAGA-JAGA

FOTO SINAR HARIAN

ALOR SETAR (31 DISEMBER 2023) – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan rakyat Kedah agar terus berjaga-jaga susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Beliau dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2024 berkata, kemunculan semula pandemik tersebut sudah tentu meresahkan semua pihak.

“Beringatlah, jangan sampai kita terpaksa berkurung seperti ketika pandemik yang menyebabkan seluruh kehidupan kita lumpuh,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, tahun 2024 dijangka tahun yang sukar memandangkan perang Rusia-Ukraine yang belum berakhir.

“Ia hampir pasti akan terus menghimpit warga dunia dengan tekanan ekonomi dan harga barang akan terus melambung.

“Pembantaian rejim Zionis ke atas Palestin dijangka meningkatkan ketegangan di peringkat dunia, malah memungkinkan situasi yang lebih buruk,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan diri sendiri dan mengajak rakyat negeri ini untuk bermuhasabah diri di samping mengenal pasti yang baik dan buruk pada diri.

“Sesungguhnya untuk berubah ke arah kebaikan, tidak perlulah untuk kita tunggu masuk tahun baharu. Dari hari ke hari kita seharusnya menilai diri beramal dengan kebaikan dan menjauhi segala keburukan,” ujarnya.

Jelasnya, mengambil iktibar daripada pesan Nabi Muhammad SAW, berazamlah untuk menjadi seorang yang lebih baik demi kesejahteraan di dunia dan akhirat.

“Hargailah nilai dan makna kita diberikan kehidupan oleh ALLAH SWT dengan martabat sebagai insan, bukannya seperti hidupan yang lain,” katanya.

Sumber : Sinar Harian