KERAJAAN NEGERI KEDAH LULUS CUTI PERISTIWA SEMPENA THAIPUSAM

FOTO WARTA KEDAH

ALOR SETAR (03 JANUARI 2024) – Kerajaan Negeri Kedah selepas mengadakan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada hari ini telah meluluskan pemberian cuti peristiwa sempena Hari Thaipusam yang bakal disambut pada 25 Januari kelak.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata pemberian cuti peristiwa ini adalah bertujuan untuk memberi kemudahan buat penganut Hindu di negeri ini dalam meraikan hari kebesaran agama mereka bersama keluarga.

“Kepada yang tidak menyambut, pemberian cuti peristiwa ini diharapkan dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya memandangkan ia jatuh pada hari Khamis yang berturutan dengan cuti mingguan.

“Selain itu, pihak Kerajaan Negeri juga turut meluluskan penubuhan Ahli Jawatankuasa “The Greater Kedah” yang akan mengurus dan menyatukan data-data semua aktiviti kerajaan dan anak-anak syarikat untuk penyediaan laporan tahunan untuk dikemaskini bagi masyarakat mengetahui akan pencapaian semasa yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri dalam semua sektor.

“Terdapat beberapa Pegawai Kanan Kerajaan Negeri yang bakal dilantik menganggotai ahli jawatankuasa selain dianggotai oleh pakar-pakar dari beberapa bidang tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Mohd Azam Abd Samat dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam Negeri, Wong Chia Zhen.

Dalam pada itu, Mansor turut berkata sebanyak 1,045 kes penularan jangkitan Covid-19 telah direkodkan dari 24 hingga 30 Disember 2023 dimana terdapat penurunan sebanyak 268 kes.

“Difahamkan majoriti kes Covid-19 yang dilaporkan adalah melalui saringan yang bergejala iaitu sebanyak 89 kes dan tiada kluster baru direkodkan.

“Kebanyakan kes yang dilaporkan adalah bergejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital. Hanya 140 kes sahaja yang telah dirawat di hospital dan tiada kematian baru direkodkan pada tempoh tersebut dimana menunjukkan situasi semasa masih dalam keadaan yang terkawal.

“Kerajaan Negeri turut menyarankan agar masyarakat sentiasa mengamalkan penjagaan kendiri dengan sentiasa memakai pelitup muka dan kerap menggunakan cecair pembasmi kuman ‘hand sanitizer’ dalam memastikan rangkaian penularan jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga ingin memaklumkan bahawa tiada sekatan yang akan dijalankan pada masa ini dimana masyarakat boleh menjalani aktiviti luar seperti biasa dan sentiasa mengamalkan kawalan kendiri dimana saja mereka berada,” ujarnya.

Sumber : Facebook – Warta Kedah